KUALA TERENGGANU – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mahu muncul sebagai universiti pertama di Terengganu yang menjadi Pusat Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL).
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Prof. Ir. Dr. Khairul Salleh Mohamed Sahari berkata, agenda UMT itu bakal memperluas akses dalam kalangan masyarakat di sekitar negeri berkenaan untuk meningkatkan kelayakan akademik masing-masing.
Beliau berkata, usaha UMT itu selaras dengan inisiatif pendidikan fleksibel yang diuar-uarkan dan diusahakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), selain menyemarakkan lagi agenda pembelajaran sepanjang hayat (PSH) seterusnya menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global.
“MQA akan sentiasa memberi sokongan, khidmat rundingan dan panduan kepada IPT untuk melaksanakan APEL yang mana pasaran APEL ini sangat besar kerana kira-kira 60 peratus tenaga kerja di Malaysia layak untuk mengikutinya,” katanya selepas sesi perkongsian pada Sesi Jelajah MQA @ Zon Timur yang dihadiri lebih 100 peserta dari 70 IPT dari sekitar Pahang, Kelantan dan Terengganu di UMT, semalam.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMT, Prof. ChM. Dr. Marinah Mohd Ariffin; Pengarah Kanan Pembangunan Dasar dan Kepakaran MQA, Mohamad Dzafir Mustafa; Pengarah Kanan (Akreditasi) MQA, Mohd Khairul Nizam Ibrahim; Pengarah Pusat Pengurusan dan Penjamin Kualiti UMT, Mohd Nor Shokri Abd. Rahman dan Pengarah Bahagian Akreditasi (Sains dan Perubatan) MQA, Abdul Saman Taip.
Sesi jelajah itu menjadi antara program berfokus MQA untuk bertukar pandangan secara terus dengan pihak IPT dalam konteks jaminan kualiti pengajian tinggi di samping mempromosi inisiatif PSH seperti APEL.A, APEL.C, APEL.Q dan Micro-Credentials serta menggalakkan lebih banyak IPT menjadi Pusat Penilaian APEL.
Mengulas lanjut, Khairul Salleh berkata, buat julung kalinya MQA telah mengadakan Hari Mesra Pelanggan (HMP) di lokasi luar bagi memberi ruang dan peluang kepada institusi pengajian tinggi (IPT), institusi pendidikan dan pihak berkepentingan yang berhampiran yang ingin memperoleh maklumat berkaitan perkhidmatan yang disediakan oleh MQA.
Beliau berkata, selalunya Hari Mesra Pelanggan MQA diadakan melalui kaedah perjumpaan secara bersemuka bersama-sama IPT tempatan di Mercu MQA, namun kemudiannya ditukar kepada mod secara dalam talian semasa penularan wabak Covid-19 sebelum kembali secara bersemuka pada tahun 2022.
“Penganjuran HMP buat julung-julung kali di lokasi luar di UMT ini menunjukkan tahap komitmen tinggi MQA dalam usaha memacu pembangunan dan kecemerlangan pengajian tinggi di negara ini,” katanya. – UTUSAN