Home Berita PAS Terengganu

UMT lancar Kempen Kibar Jalur Gemilang

24
SHARE

KUALA TERENGGANU – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) meneruskan program semarak kibar jalur gemilang di kampus universiti itu bersempena sambutan bulan kemerdekaan Malaysia ke-69.

Acara tahunan sejak lebih sedekad itu merupakan manifestasi warga kampus dalam menyemarakkan sambutan bulan kebangsaan serta sambutan Hari Malaysia.

Naib Canselor UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, pihaknya telah merangka pelbagai program sebagai pengisian menyambut bulan kebangsaan.

“Alhamdulillah, kita telah berjaya mengadakan program kibar Jalur Gemilang dan menyempurnakan simbolik pelepasan kenderaan rasmi UMT.

“Pelbagai program pengisian sepanjang sambutan bulan kemerdekaan akan dilaksanakan UMT bagi menyemarakkan lagi kempen kibar Jalur Gemilang dalam menghayati pengertian kemerdekaan selain  menyemai semangat patriotik di kalangan warga kampus khususnya mahasiswa,” ujarnya.

Katanya, selaras dengan kempen kibar Jalur Gemilang yang dilancarkan pihak kerajaan bertemakan Malaysia Madani : Jiwa Merdeka Julai lalu, kira-kira 500 Jalur Gemilang pelbagai saiz berjaya diedarkan UMT kepada semua kenderaan yang masuk ke kampus sepanjang program Kibar Jalur Gemilang yang diadakan di pintu masuk utama kampus.

Sementara itu, wakil barisan Majlis Perwakilan Pelajar UMT, Nur Sabrina Afiqah Md Sukor menyeru mahasiswa untuk bersama-sama menyemarakkan lagi semangat cintakan negara.

“Kami di barisan Majlis Perwakilan Pelajar mengalu-alukan warga pelajar UMT untuk bersama-sama menyertai program berkaitan bulan kebangsaan bagi menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan serta menyemai semangat patriotik terhadap negara Malaysia yang tercinta ini, ” katanya.