Home Berita PAS Terengganu

Umno “Mimpi Di Siang Hari”

10
SHARE

KUALA TERENGGANU – Pemuda PAS Terengganu menyifatkan kenyataan Umno yang menyatakan hasrat untuk “menawan semula Terengganu” sebagai tidak realistik dan melucukan, malah menggambarkan parti itu masih dibuai mimpi politik lama.

Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Harun Esa, berkata Umno hari ini tidak lagi relevan di mata rakyat negeri ini selepas terbukti hilang arah dan ditolak akibat kebobrokan serta ketamakan kuasa yang berlarutan sejak sekian lama.

“Umno hari ini bukan lagi Umno yang dahulu. Ia kini umpama kapal bocor yang sedang karam, ditolak rakyat kerana rekod kebobrokan dan ketamakan kuasa yang tidak berpenghujung.

“Kenyataan tersebut bukan sahaja melucukan, malah menunjukkan bahawa Umno masih hidup dalam mimpi lama sebuah parti yang semakin hilang arah dan sokongan rakyat,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam laman sosial, pada hari ini.

Tambahnya, rakyat negeri ini semakin celik politik dan tidak akan kembali kepada gaya kepimpinan lama yang penuh dengan kronisme, drama politik dan ketandusan nilai.

Justeru itu, beliau menyeru agar Umno mencerminkan diri terlebih dahulu sebelum bercakap soal menawan negeri.

“Kami yakin, bukan menawan yang bakal berlaku, tetapi pengkebumian politik Umno di Terengganu akan terus disegerakan oleh rakyat dalam PRU akan datang,” ujarnya.

Ustaz Mohd Harun juga menegaskan bahawa Terengganu adalah milik perjuangan Islam dan bukan pentas untuk “sarkas politik lama” kembali beraksi.

Kenyataan itu dilihat sebagai respons balas terhadap laporan media arus perdana baru-baru ini yang memetik keyakinan pimpinan Umno bahawa parti itu masih berpeluang untuk merampas semula Terengganu dalam PRU akan datang.