Home Berita PAS Terengganu

UMNO/BN tidak dapat dipisahkan dengan politik balas dendam

9
SHARE

Saya teliti ucapan beberapa tokoh UMNO dalam program penerangan atau lebih tepat kempen yang mereka adakan di Terengganu.

Jika sebelum ini naratif yang dibawa mereka ialah tiada pembangunan dan pelaburan yang berjaya diusahakan oleh kepimpinan Kerajaan Negeri yang diterajui PAS, mutakhir ini mereka memfokuskan pula kepada nada yang lebih bersifat “mengugut” untuk melahirkan rasa bimbang dalam kalangan pengundi.

Barangkali kerana data dan statistik yang ada mengenai pembangunan dan pelaburan itu tidak berpihak kepada mereka dan jentera penerangan PAS pula dilihat berjaya menangani isu ini, jadi sebab itulah mereka mencanangkan pula kononnya jika UMNO/BN tidak mentadbir Terengganu sedangkan Kerajaan Persekutuan diterajui oleh gabungan BN-PH, maka rakyat dan Negeri Terengganu akan rugi kerana banyak peruntukan kewangan dan projek pembangunan tidak akan dibawa masuk ke negeri ini.

Itulah UMNO/BN. Tidak dapat dipisahkan dengan politik balas dendam. Tambah lagi berketuakan seorang pemimpin yang “gedebe” tak tentu hala. Dulu pun, ketika PAS diberi mandat untuk mentadbir Kerajaan Negeri, merekalah yang bersungguh-sungguh minta supaya royalti petroleum disekat. Rakyatlah yang menjadi mangsa.

Padahal, perlembagaan telah jelas menggariskan kuasa negeri dan Persekutuan. Masing-masing ada tanggungjawab yang perlu ditunaikan antara satu sama lain. Tapi UMNO/BN bukan kisah pun dengan konsep federalisme ini.

Walaupun kemungkinan UMNO/BN untuk menang itu ada dan adatlah dalam bertanding, namun kebarangkaliannya tidak sebegitu. Dalam keadaan UMNO/BN bersekutu dengan PH lebih-lebih lagi DAP, sanggup menggadai maruah dan prinsip perjuangan asal parti, ramai tokoh-tokohnya di pelbagai peringkat bukan sahaja menentang, bahkan ada yang dipecat dan memilih untuk meninggalkan UMNO/BN. Gelombang menolak UMNO/BN ini bergerak dari dalam UMNO/BN sendiri di peringkat akar umbi dan peringkat atasan.

Kini, dengan rakan-rakan parti komponen pun mereka bergaduh. UMNO/BN umpama lintah darat. PKR dah bagai telur di hujung tanduk. PAN seperti selalulah, terpaksa melukut di tepi gantang. Tengok apa yang berlaku kepada Kerajaan Persekutuan akibat perbalahan semasa sendiri ini, banyak isu rakyat tak dapat ditangani dengan baik. Kos sara hidup naik. Ringgit turun. Polisi flip-flop. Perdana Menteri suka cakap benda tak ada bukti. Menteri pula cakap tak serupa bikin.

Tapi, tak apalah, biarlah. Itu cara yang UMNO/BN dan BN-PH pilih.

Saya percaya, pengundi pun ada pilihan yang lebih bijak. Sama-sama kita buat gelombang besar-besaran tolak UMNO/BN-PH di peringkat negeri biar cetus perubahan juga di peringkat pusat nanti.

Kita pakat-pakat usaha. Rekod dah ada dan potensi pun ada.

Ustaz Mohd Soud Said
Pengarah Jabatan Penerangan PAS Negeri Terengganu
26 Jun, 2023