Home Berita PAS Perlis

Umat Islam Digesa Jayakan Usaha Penyatuan Ummah

753
SHARE

Oleh: Nur ‘Iffah

ARAU : Penyatuan ummah yang sedang diusahakan pada masa ini adalah atas dasar Islam serta demi memelihara kepentingan Islam yang merupakan agama rasmi negara seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

Demikian ditegaskan oleh Pengarah Strategi Dewan Pemuda PAS Malaysia, Saudara Syahir Sulaiman ketika berucap dalam Ceramah Penyatuan Ummah yang diadakan di Dataran Behor Mentalon dekat sini pada 2 April lalu.

Menurutnya, usaha berkenaan (menyatukan umat Islam) adalah selaras dengan tuntutan Islam bahkan terdapat banyak ayat dalam kitab suci Al-Quran yang menjelaskan perintah Allah agar umat Islam bersatu atas dasar Islam.

Penyatuan ini menurutnya lagi, penting ke arah mengembalikan semula kekuatan dan maruah umat Islam yang kini sedang galak dicabar oleh pihak-pihak yang tegar memusuhi Islam.

Pada masa yang sama, beliau menggesa seluruh penyokong PAS agar tidak perlu berasa bimbang dengan usaha penyatuan ini, yang menurut beliau tidak akan mengancam dasar dan prinsip perjuangan parti Islam berkenaan.

“Kepimpinan akan berganti namun dasar perjuangan tidak pernah akan diusik apatah lagi diubah.

“Kita merafakkan setinggi-tinggi rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana masih diberikan peluang untuk berkumpul bagi mempromosikan penyatuan kita walaupun (kita semua) berbeza parti dan latar belakang,” ujarnya.

Turut berucap dalam program berkenaan, Ketua Pemuda PAS Kawasan Arau, Ustaz Mohd. Ridzuan Hashim dan Setiausaha Badan Perhubungan Umno Perlis, Azizan Sulaiman.

Menjelaskan maksud kata-kata Tuan Guru Presiden PAS, beliau berkata hubungan yang dibina diumpamakan seperti adik-beradik kerana dua buah parti terbesar umat Islam-Melayu yang telah bermusuh sejak sekian lama kini telah duduk bersama demi kepentingan Islam dan bangsa melayu.

Justeru beliau menyarankan agar seluruh umat Islam menyambut baik usaha penyatuan ummah ini kerana umat Islam yang bersatu akan menjadikan Islam semakin kuat dan melemahkan musuh-musuh Islam.

“Merekalah (musuh Islam) yang paling seronok ketika kita (umat Islam) berpecah-belah. Kesatuan yang mula berputik ini umpama menanam benih, (justeru) tidak perlu tergesa-gesa untuk mengambil hasilnya.

“Mulalah menanam ukhuwah antara kita (umat islam) seperti yang dilakukan pada malam ini, demi merealisasikan cita-cita penyatuan ummah sesama kita,” katanya.