Home Minda Presiden

Umat Islam Dicabar, Palestin Dikecewakan

225 views
SHARE

Minda Presiden PAS

UMAT ISLAM DICABAR, PALESTIN DIKECEWAKAN

Zionis merampas Tanah Suci Palestin, bumi para Anbia A.S yang wajib dipertahankan oleh umat Islam yang beriman kepada semuanya. Di sana terletaknya Bait Al-Maqdis, di atasnya juga Masjid Al-Aqsa, kiblat pertama umat Islam.

Tiba-tiba ditubuhnya negara haram Israel dengan cara merompak di siang hari, alasan sejarahnya yang sesat daripada ajaran para Rasul A.S, bahkan kaum Yahudi itu membunuh sebahagian para Rasul dan ulama yang soleh. Kini menunjukkan keangkuhannya, mengisytiharkan ke seluruh dunia, bahawa bumi Palestin hanya kepunyaan bangsa Yahudi, bangsa lain tidak berhak menjadi rakyat, dan diikuti menceroboh secara beramai-ramai ke dalam Masjid Al-Aqsa dengan kawalan pasukan keselamatannya yang bersenjata.

Cita-cita Zionis dicatat di Knesset (Parlimen Israel) bahawa inilah negara asal bangsa Yahudi. Sempadannya dari sungai Nil di Mesir sehingga Sungai Furat (Uprate) di Iraq, dari pantai laut di utaranya sehingga Yanbu’ di Selatan Madinah Munawwarah (bermakna Madinah juga termasuk dalam jangkauan negaranya yang agung) yang diimpikan memimpin dunia, kononnya mengulangi sejarah kerajaan Nabi Daud dan Nabi Sulaiman A.S walaupun mereka tidak beramal dengan kitab suci Taurat seperti Rasul itu.

Media yang dikuasainya di seluruh pelosok dunia dengan kecanggihannya meredah langit terbuka tanpa sempadan, tidak dapat disembunyikannya, tersebarnya kefahaman fanatik Yahudi yang lebih kejam daripada amalan aparteid dan nazi, kerana menganggap bahawa semua bangsa bukan Yahudi adalah Goyem (manusia bertaraf rendah atau hina).

Penguasaan kaum Yahudi terhadap ekonomi dunia dengan rakus dan mempengaruhi negara-negara kuasa besar yang melindunginya, menjadikan Israel lebih ganas daripada Nazi yang dikutuknya. Kini menunjukkan kekuatannya dengan lebih angkuh, berlesenkan boleh memiliki senjata pemusnah yang diharamkan oleh undang-undang antarabangsa yang lemah laksana sarang labah-labah. Sehingga berjaya menyelamatkan dirinya daripada dikutuk, melalui hanya kenyataan oleh PBB dan Majlis Keselamatannya dengan kuasa veto yang dimiliki negara kuasa besar yang dipengaruhinya melalui para pemimpin yang dipilih di negara besar itu.

Negara Arab yang paling berjiran dengan Palestin dan bertanggungjawab mempertahankannya di atas nama agama dan bangsanya pula, paling mengecewakan, apabila lebih mementingkan harta dan takhtannya. Kini menunjukkan kesediaan membuka pintu hubungan dengan negara haram Israel itu. Ada yang telah dilakukan dan ada pula secara bersembunyi kerana takutkan rakyatnya, bukan kepada Allah dan umat Islam.

Terkini pula ada kalangan negara yang mendukung tawaran paling mahal di zaman ini, untuk menubuhkan negara baru bagi rakyat Palestin, di kawasan yang lain di luar Palestin, dengan tawaran harta peruntukan bantuan yang lumayan dan menyerah sepenuhnya bumi Palestin termasuk Bait Al-Maqdis dan Masjid Aqsanya kepada Zionis tanpa gangguan. Cadangan yang ditawarkan ini bagi menyambut keputusan Knesset Israel yang menegaskan, hanya bangsa Yahudi sahaja yang berhak diberi kerakyatan, bermakna bangsa Arab Palestin boleh dihalau bila-bila masa.

Kini umat Islam secara khusus dan masyarakat antarabangsa umumnya juga dicabar oleh Zionis yang berpengaruh itu, sehingga meninggalkan kewajipan hak asasi manusia dan moral kemanusiaan, bahkan kewajipan persaudaraan aqidah Islam bagi penganut Islam.

Sikap yang hina di hadapan bangsa Yahudi yang sangat kecil jumlahnya, disebabkan kehilangan jati diri kemanusiaan dan agama umat Islam, sehingga tidak mampu bertindak terhadap kezaliman dan keganasan Zionis itu, bahkan lebih malangnya apabila dapat dicaturkan oleh Israel dan sekutunya, diaturnya pengkalan tentera negara sahabat Israel di atas bumi Arab, bagi menyelamatkan Israel yang kecil itu.

Dahulunya dua sahaja negara umat Islam mengiktiraf dan mengadakan hubungan diplomatik dengan negara haram Israel secara rasmi, iaitu Turki di bawah kuasa Kamal Atarturk dan Iran di bawah kuasa raja Shah Reda Bahlawi, serta semua negara bukan Islam khususnya bertaraf kuasa besar. Kini sudah banyak negara Arab dan negara umat Islam mengadakan hubungan diplomatik dengan negara haram itu.

Kita sedang menyaksikan semua negara Arab dan Islam yang tidak ada hubungan dengan negara haram Israel itu atau tidak mengiktirafnya dikacau dan diganggu dengan berbagai cara.

Iran yang menjatuhkan Shah dan kerajaan ketika itu sangat mesra Israel selepas bertukar nama kepada Republik Islam Iran, membatalkan pengiktirafan terhadap negara Israel dan menutup kedutaannya di Tehran, terus diganggu dengan mencetuskan Perang Teluk yang pertama dan kesannya berlarutan sehingga kini.

Selepasnya Turki yang baru sahaja menunjukkan sikapnya yang tidak mesra Israel, walaupun belum lagi memutuskan hubungan diplomatiknya juga telah diganggu, melalui rampasan kuasa tetapi gagal.  

Semua negara Arab tanpa mengira ideologi sekiranya menolak polisi ke arah mengiktiraf Israel seperti Yaman, Sudan, Syria, Libya, Algeria, Tunisia dan lain lain, sebaik sahaja sahaja menunjukkan sikap negatif terhadap Israel diganggu dan dihuru-harakan dengan alasan menentang keganasan dan kezaliman yang berlaku dijadikan peluangnya, dengan slogan mendukung demokrasi atau membela Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah dan lain-lain. Sehingga ada yang berjaya dicetuskan perang saudara dalam negeri masing-masing dengan bantuan negara-negara besar yang mengambil kesempatan mencuba senjata dan berniaga senjata itu dan menguasai kawasan untuk kepentingan masing-masing.

Semua kekacauan itu adalah meringankan bebanan negara haram Israel menjaga keselamatan dan keamanannya. Lebih baculnya apabila ada di kalangan negara Arab yang berjiran itu menganggap Israel adalah teman ekonomi dan politik yang terbaik dibandingkan Turki yang dilabelkan mengembalikan semula kerajaan Uthmaniyyah yang dianggap penjajah dan Iran pula dikatakan mahu mendirikan negara besar Syiah. Pada halnya di zaman Syah dahulu pun mazhabnya Syiah juga, bezanya Syiah yang mesra Israel. Alasannya kerana mempertahankan kebangsaan Arab dan Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Adapun negara Qatar yang kecil dikepung dan dibuli kerana mengubah pendekatan bersama Turki dan Iran, walaupun Mazhab Qatar itu Sunni dan Salafi Wahabi. Kini dikepung dan dipulau dengan alasan membantu pengganas.

Apa yang paling menarik pula sikap mereka mengikut kenyataan Amerika dan sekutunya yang terus menyokong dan melindungi negara haram Israel. Malangnya disokong pula oleh para ulama yang dilesenkan muktabarnya dengan fatwa yang menghalalkan hubungan dengan Israel. Semua yang mengkritik fatwa yang dirasmikan itu diambil tindakan dipenjara, ditahan di rumah, dan digam, tidak diizinkan berkhutbah, berkuliah dan menulis atau terpaksa berhijrah meninggalkan tanah air dan keluarga tercinta.

Semua kumpulan yang gagah berani menghalakan senjatanya ke arah negara haram Israel, walaupun hanya layang-layang berapi dan batu dianggap pengganas, lebih-lebih lagi yang mengisytiharkan jihad dan jenama Islamnya, terus dianggap paling pengganas  atau pelampau.

Adapun negara haram Israel dianggap betul dan adil menggunakan apa sahaja senjatanya, tetap dihalalkan, walaupun senjata pemusnah dan beracun yang diharamkan oleh undang-undang antarabangsa, kerana dikatakan dalilnya menjaga keselamatan dan keamanan Israel.

Mangsanya tanpa mengira Sunni seperti Hamas dan Tanzim Jihad dan juga Syiah seperti Hizbullah dan Ansarullah, walaupun diketahui bahawa rakyat Palestin majoritinya Ahli Sunnah bermazhab Syafie, bukannya Syiah. Sikap fatwa mesra Israel ini kerana mentarjihkan mazhab yang berkiblat ke arah White House di Washington, kerana Kaabah di Makkah hanya layak menjadi kiblat bagi ibadat solat sahaja.

Terpulang kepada umat di bawah dan rakyat awam menilai, apakah jenisnya Ahlu Sunnah Wal Jamaah yang diperjuangkan itu dan apakah jenis kebangsaan Arabnya yang dipertahankan?

Adapun rakyat Palestin terus dikecewakan tanpa bantuan dan pertolongan yang cukup. Dikelilingnya kekayaan jirannya yang melimpah ruah, tetapi lebih banyak dilaburkan di Amerika Syarikat dan Eropah, termasuk pelaburan hanya berseronok tanpa sempadan halal dan haram, atau untuk membeli senjata bagi berperang saudara dalam negara sendiri, kerana berbeza mazhab, atau berlainan kebangsaan, kabilah dan ideologi politik sekularnya.

Apa yang berlaku adalah ujian Allah terhadap umat Islam. Walaupun Allah berjanji bahawa akan tiba ajal bagi negara haram Israel dan pejuangnya, di mana bumi Palestin pasti menjadi kubur kaum Zionis itu, namun rakyat Palestin tidak boleh dikalahkan walaupun dikecewakan. Umat Islam terus berkewajipan menjadi hamba Allah yang menunaikan janjinya, bukannya menunggu janji Allah tanpa amalan dan jihad, laksana pungguk merindukan bulan.

Sabda Rasulullah S.A.W:

لَا تزَال طَائِفَة من أمتِي ظَاهِرين على الْحق لَا يضرهم من خذلهم، قيل: وَأَيْنَ هم يَا رَسُول الله؟ قَالَ: بِبَيْت الْمُقَدّس، أَو أكناف بَيت الْمُقَدّس

“Masih ada di kalangan umatku kumpulan yang muncul menyatakan dan menegakkan kebenaran, yang tidak boleh dihapuskan oleh orang-orang yang mengecewakan mereka. Lalu para sahabat bertanya: Dimanakah mereka, wahai Rasulullah? Sabdanya: Di Bait Al-Maqdis atau di pelosok Bait Al-Maqdis”

Percayalah bahawa perjuangan rakyat Palestin yang berteraskan iman tidak mungkin dipadamkan. Percayalah juga bahawa takhta dan harta yang mengecewakan rakyat Palestin akan tumbang dan ditelan zaman.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Bertarikh: 15 Zulkaedah 1439 / 28 Julai 2018