Home Berita PAS Terengganu

Ulu Kekabu produk pelancongan baharu berasaskan komuniti

22
SHARE

SETIU – Kerajaan Terengganu berhasrat menjadikan Lata Ulu Kekabu sebagai produk pelancongan baharu berasaskan komuniti (CBT), dengan mengekalkan keaslian alam semula jadi dan memanfaatkan kekuatan ekopelancongan yang belum terusik.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, Ulu Kekabu memiliki ciri unik kerana masih belum tercemar, malah kekal dengan struktur semula jadi hutan dan batu-batu yang tidak pernah dialihkan.

“Tempat ini masih tidak diusik, masih lagi tempat yang mempunyai pokok-pokok yang tidak ditebang dan batu-batu yang masih original,” katanya ketika lawatan kerja ke lokasi tersebut semalam.

Beliau berkata, pembangunan kawasan itu akan dilakukan secara berhati-hati bagi mengekalkan keseimbangan ekologi, dengan pihak berkuasa tempatan diminta memastikan tiada aktiviti penebangan dilakukan.

“Saya sudah beritahu kepada YDP Setiu supaya jaga tempat ini, jaga sumber alam semulajadi dan jangan beri peluang kepada sesiapa sahaja untuk tebang pohon-pohon yang ada di sekitar ini,” tegasnya.

Sebagai langkah awal, kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM20,000 untuk pembinaan tandas berasingan lelaki dan wanita sebagai kemudahan asas buat pengunjung.

“Saya lihat tiada kemudahan tandas di sini, saya sudah bersetuju untuk meluluskan sebanyak RM20,000 untuk membuat asas tandas yang diasingkan antara lelaki dan wanita,” katanya.

Beliau turut menekankan aspek kebersihan dan keselamatan, termasuk penyediaan tali, laluan trek dan papan tanda sebagai keperluan penting untuk menjadikan kawasan itu mesra pelancong.

“Tempat ini kita angkat sebagai Community Based Tourism, jawatankuasa yang menguruskan tempat ini akan menguruskan laluan dan penunjuk arah,” jelas beliau.

Razali turut menasihatkan agar pendaki yang tidak berpengalaman mendapatkan khidmat malim gunung tempatan yang berlesen serta tidak melakukan aktiviti bersendirian bagi mengelakkan risiko keselamatan.

Untuk memasuki kawasan hutan simpan, pengunjung diwajibkan mendapatkan permit daripada Jabatan Perhutanan dengan bayaran RM10 seorang, selain menggunakan khidmat malim gunung yang berdaftar.

“Sekarang sudah disediakan kemudahan bayaran secara atad talian dan wajib gunakan khidmat malim gunung untuk masuk ke kawasan hutan simpan,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa sebarang aktiviti menebang pokok besar adalah dilarang, manakala pemotongan semak renek bagi tujuan perkhemahan masih dibenarkan dengan kawalan.