Home Artikel PAS Wilayah

Ulamak Wilayah : Siasat P Ramasamy Kerana Dakwaan Terhadapnya Terang Dan Jelas

821
SHARE

KENYATAAN MEDIA
DEWAN ULAMAK PAS WILAYAH PERSEKUTUAN

SIASAT P RAMASAMY KERANA DAKWAAN TERHADAPNYA TERANG DAN JELAS
(17 Julai 2018)

Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan (DUPWP) menempelak sikap keras Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II P Ramasamy yang mendesak ekstradisi pendakwah terkenal Dr Zakir Naik ke India. DUPWP berpandangan sikap keras beliau mengundang rasa marah dan kebencian umat Islam dan boleh mencetus suasana tidak selesa dalam negara. Ketika kerajaan masih memberikan ruang kepada Dr Zakir Naik berada di negara ini, jangan pula beliau yang berada dalam kerajaan Pakatan Harapan bersifat melampau mahu manghambat pulang pendakwah Islam itu.

Apa motif sikap sebenar beliau terhadap Dr Zakir Naik? Apakah P Ramasamy sakit hati setelah hujah dan ceramah Dr Zakir Naik mengenai agama Islam sukar ditangkis dan menyebabkan ramai penonton memeluk agama Islam? Jika beliau ada rasa tidak puas hati dengan pendakwah itu, mengapa beliau menolak gesaan banyak pihak agar diadakan debat atau dialog terbuka antara beliau dengan Dr Zakir, dan mengapa pula beliau meletakkan banyak syarat kepada pendakwah tersebut?

Dalam pada nada keras beliau, hari ini tersebar maklumat bahawa pemimpin DAP Pulau Pinang itu terlibat dengan Harimau Pembebasan Tamil Ealam (LTTE) kumpulan bersenjata di sebalik perang saudara yang berlangsung selama 30 tahun di Sri Lanka. Gambar beliau yang menunjukkan kesetiaan kepada organisasi yang dikatakan kumpulan pengganas itu begitu jelas dan perlukan penjelasan daripada beliau. Malah, gambar beliau bersama V Gopalasamy atau Vaiko yang mengetuai parti Marumalarchi Dravida Munnetra Kazhagam (MDMK) yang berpangkalan di Tamil Nadu, yang hadir di majlis perkahwinan anak perempuan Ramasamy di Pulau Pinang baru-baru ini amat meyakinkan.

Jika itu satu tuduhan tanpa bukti, beliau perlu membuat penafian juga dengan bukti. Berbanding tuduhan yang beliau lemparkan terhadap Dr Zakir Naik, kes beliau lebih kuat dan konkrit. Seharusnya bukan Dr Zakir Naik yang perlu disiasat, tetapi P Ramasamy pula yang mesti disiasat. Menyokong pemberontak atau pengganas adalah satu kesalahan serius lebih lagi di negara yang mengalami pergolakan seperti India. Justeru, pihak kerajaan India tidak boleh menutup mata dan membiarkan sahaja keadaan ini sebaliknya juga perlu membuat siasatan bagaimana ahli politik Malaysia boleh terlibat dengan pengganas di Sri Lanka. Apakah beliau juga adalah rangkaian antarabangsa dan terlibat dengan pelbagai perancangan keganasanan global yang menimbulkan teka-teki yang panjang.

Akhirnya, DUPWP bersetuju agar diadakan pertemuan dan dialog terbuka antara P Ramasamy dengan Dr Zakir Naik. Bahkan, jika ada mana-mana pihak yang mempertikaikan pendakwah tersebut, wajar diadakan forum atau terbuka antara kesemua golongan ini. Jika mereka berada pada golongan yang benar, mereka pasti menerima pelawaan ini dan sanggup berdebat demi memperjuangkan ‘kebenaran’ mereka. Hujah perlu lawan dengan hujah, dakwaan dengan dakwaan, dan forum terbuka mampu menjadi gelanggang yang menyelesaikan polemik ini.

USTAZ MOHD ALI JAMIL
Ketua Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan