Bismillahirrahmanirrahim.
Dewan Ulamak PAS Negeri Terengganu menyatakan sokongan penuh terhadap fatwa Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) yang melarang umat Islam menghadiri ritual keagamaan bukan Islam.
Fatwa ini adalah satu langkah penting dalam mempertahankan kesucian akidah dan memastikan umat Islam tidak terjerumus dalam kekeliruan yang boleh menggugat prinsip tauhid.
Islam tidak menolak keharmonian antara agama, namun ia menetapkan batas yang jelas agar umat Islam tidak mengiktiraf atau terpengaruh dengan amalan keagamaan lain.
Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan menegaskan Islam sebagai agama Persekutuan, justeru fatwa ini harus difahami sebagai garis panduan strategik bagi memastikan kedudukan Islam terus terpelihara.
Kami menyeru semua pihak, termasuk pemimpin dan institusi pendidikan, untuk memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap prinsip ini dan memastikan pendidikan akidah terus diperkasakan agar umat Islam tidak terjebak dalam keterbukaan yang melampaui batas.
Dewan Ulamak PAS Negeri Terengganu menggesa semua negeri menguatkuasakan fatwa yang serupa bagi memperkukuh usaha menjaga akidah umat Islam.
Berpegang teguh kepada ajaran Islam bukan tanda ekstremisme, tetapi suatu kewajipan dalam memastikan identiti Islam tidak terhakis.
Kami menegaskan bahawa sokongan terhadap fatwa ini adalah satu keperluan bagi menjamin keutuhan Islam dalam negara ini.
“Islam Adalah Penyelesaian”
“Kesatuan Asas Kekuatan”
USTAZ ISMAIL OSMAN
Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Terengganu