Home Berita PAS Terengganu

Ulama Tidak Berpolitik Bukan Waris Para Anbiya

102
SHARE

Kenyataan yang melarang mendekati ulama’ yang berpolitik adalah bertentangan dengan al-Quran. Al-Quran membawa cerita para anbiya’ yang tidak memisahkan politik daripada dakwah, bermula dari zaman Nabi Adam AS hingga Nabi Muhammad SAW, nabi akhir zaman.

Al-Quran menceritakan pengumuman Allah SWT kepada para malaikat, sewaktu hendak menciptakan Nabi Adam AS, bapa kepada semua manusia yang dilantik menjadi nabi dan rasul pertama. Firman-Nya:

وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ رَبُّكَ لِلْمَلَـٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ ٣٠

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat, ‘Sesungguhnya, Aku hendak menjadikan khalifah di muka bumi.’ Mereka berkata, ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji dan menyucikan Engkau?’ Tuhan berfirman, ‘Sesungguhnya, Aku mengetahui apa-apa yang tidak kamu ketahui.’” [Surah al-Baqarah: 30]

Para ulama’ mentafsirkan istilah khalifah itu sebagai politik mentadbir dan memerintah dengan petunjuk Allah (سياسة الدنيا بالدين). Rujukan mengenai konsep ini boleh ditemukan dalam kitab al-Muqaddimah oleh Ibn Khaldun RH, al-Ahkam al-Sultaniyyah oleh al-Mawardi RH dan kitab-kitab tafsir muktabar.

Sabda Rasulullah SAW:

‌كَانَتْ ‌بَنُو ‌إِسْرَائِيلَ ‌تَسُوسُهُمُ ‌الْأَنْبِيَاءُ، كُلَّمَا هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَهُ نَبِيٌّ، وَإِنَّهُ لَا نَبِيَّ بَعْدِي، وَسَيَكُونُ خُلَفَاءُ فَيَكْثُرُونَ.

“Kaum Bani Isra’il pada zaman dahulu dipimpin oleh para nabi. Apabila seseorang nabi wafat, diganti pula nabi selepasnya. Tiada lagi nabi selepasku (Muhammad SAW), namun akan ada para pemimpin dan jumlah mereka ramai.” [Riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab Ahadith al-Anbiya’, No. 3455, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Imarah, No. 1842, daripada Abu Hurairah. Lafaz bagi al-Bukhari]

Sabda Rasulullah SAW:

إِنَّ ‌الْعُلَمَاءَ ‌وَرَثَةُ ‌الْأَنْبِيَاءِ، إِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا، إِنَّمَا وَرَّثُوا الْعِلْمَ.

“Sesungguhnya, para ulama’ itu menjadi waris para nabi (yang menerima pusakanya). Sesungguhnya, para nabi tidak meninggalkan pusaka harta yang berbentuk wang emas (dinar) dan wang perak (dirham), tetapi mereka meninggalkan pusaka ilmu (dan perjuangan beramal dengan ilmu).” [Riwayat Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Kitab al-‘Ilm, No. 3641, al-Tirmizi, Sunan al-Tirmizi, Abwab al-‘Ilm, No. 2682, dan Ibn Majah, Sunan Ibn Majah, Iftitah al-Kitab fi al-Iman wa Fada’il al-Sahabah wa al-‘Ilm, No. 223, daripada Abu al-Darda’. Lafaz bagi al-Tirmizi]

Allah berfirman kepada Rasulullah SAW selepas menerima wahyu pertama:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلۡمُدَّثِّرُ ١ قُمۡ فَأَنذِرۡ ٢

“Wahai orang yang berselimut! (1) Bangunlah, lalu berilah peringatan! (2)” [Surah al-Muddaththir: 1-2]

Allah SWT berfirman kepada mereka yang keluar menuntut ilmu untuk memahami agama:

۞وَمَا كَانَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَآفَّةٗۚ فَلَوۡلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرۡقَةٖ مِّنۡهُمۡ طَآئِفَةٞ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي ٱلدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوۡمَهُمۡ إِذَا رَجَعُوٓاْ إِلَيۡهِمۡ لَعَلَّهُمۡ يَحۡذَرُونَ ١٢٢

“Dan tidak sepatutnya orang-orang Mukmin itu semuanya pergi (ke medan perang). Mengapa tidak pergi sebahagian daripada mereka (yang tinggal) untuk bertafaqquh (memperdalam pengetahuan dan kefahaman mereka) tentang agama, dan untuk memberikan peringatan kepada kaumnya (bahaya menolak agama) apabila mereka telah kembali kepadanya; supaya mereka dapat menjaga dirinya (daripada melakukan larangan Allah dengan petunjuk-Nya)?” [Surah al-Tawbah: 122]

Menjadi tugas para ulama’ untuk menyelamatkan umat daripada kerosakan aqidah dan cara hidup dalam segala aspek kehidupan.

Para anbiya’ bukan sahaja berdakwah mengajak rakyat kepada Islam, bahkan mereka menghadapi cabaran yang lebih besar iaitu menghadapi raja-raja dan kumpulan al-mala’ (pemimpin) yang memerintah rakyat. Mereka diperintahkan supaya menyeru para pemimpin agar mengikut petunjuk Allah yang dinamakan Islam. Para pemimpin yang menerima Islam, mereka akan dikekalkan, manakala mereka yang menolak kebenaran pula akan dipecat kerana telah sesat dan berlaku zalim.

Allah menceritakan betapa menyesalnya rakyat yang terpengaruh dengan pemimpin yang sesat, ketika mereka sama-sama dibakar dalam Neraka melalui firman-Nya:

إِذۡ تَبَرَّأَ ٱلَّذِينَ ٱتُّبِعُواْ مِنَ ٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُواْ وَرَأَوُاْ ٱلۡعَذَابَ وَتَقَطَّعَتۡ بِهِمُ ٱلۡأَسۡبَابُ ١٦٦ وَقَالَ ٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُواْ لَوۡ أَنَّ لَنَا كَرَّةٗ فَنَتَبَرَّأَ مِنۡهُمۡ كَمَا تَبَرَّءُواْ مِنَّاۗ كَذَٰلِكَ يُرِيهِمُ ٱللَّهُ أَعۡمَٰلَهُمۡ حَسَرَٰتٍ عَلَيۡهِمۡۖ وَمَا هُم بِخَٰرِجِينَ مِنَ ٱلنَّارِ ١٦٧

“(Iaitu) ketika para pemimpin yang menjadi ikutan itu berlepas diri daripada orang-orang yang mengikutinya, sedangkan kedua-dua pihak melihat betapa ngerinya azab seksa itu, dan (ketika) terputusnya segala hubungan antara mereka. (166) Dan berkatalah orang-orang yang menjadi pengikut itu, ‘Alangkah baiknya jika kami dapat kembali (ke dunia), pasti kami akan berlepas diri daripada mereka sebagaimana mereka berlepas diri daripada kami (pada saat ini)!’ Demikianlah Allah memperlihatkan kepada mereka amal-amal mereka sebagai suatu penyesalan yang amat sangat kepada mereka, dan mereka pula tidak akan dapat keluar dari Neraka. (167)” [Surah al-Baqarah: 166-167]

Firman Allah SWT:

يَوۡمَ نَدۡعُواْ كُلَّ أُنَاسِۢ بِإِمَٰمِهِمۡۖ فَمَنۡ أُوتِيَ كِتَٰبَهُۥ بِيَمِينِهِۦ فَأُوْلَـٰٓئِكَ يَقۡرَءُونَ كِتَٰبَهُمۡ وَلَا يُظۡلَمُونَ فَتِيلٗا ٧١ وَمَن كَانَ فِي هَٰذِهِۦٓ أَعۡمَىٰ فَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ أَعۡمَىٰ وَأَضَلُّ سَبِيلٗا ٧٢

“(Ingatlah) suatu hari (Hari Kiamat) Kami menyeru tiap-tiap umat manusia dengan pemimpin mereka; kemudian sesiapa yang diberikan kitab amalannya pada tangan kanannya, maka mereka itu akan membacanya (dengan sukacita), dan mereka tidak akan dianiayai sedikit pun. (71) Dan (sebaliknya) sesiapa yang berada di dunia ini (dalam keadaan) buta (mata hatinya), maka ia juga akan buta di akhirat dan lebih tersesat dari jalan (yang benar). (72)” [Surah al-Isra’: 71-72]

Firman Allah SWT:

يَوۡمَ تُقَلَّبُ وُجُوهُهُمۡ فِي ٱلنَّارِ يَقُولُونَ يَٰلَيۡتَنَآ أَطَعۡنَا ٱللَّهَ وَأَطَعۡنَا ٱلرَّسُولَا۠ ٦٦ وَقَالُواْ رَبَّنَآ إِنَّآ أَطَعۡنَا سَادَتَنَا وَكُبَرَآءَنَا فَأَضَلُّونَا ٱلسَّبِيلَا۠ ٦٧ رَبَّنَآ ءَاتِهِمۡ ضِعۡفَيۡنِ مِنَ ٱلۡعَذَابِ وَٱلۡعَنۡهُمۡ لَعۡنٗا كَبِيرٗا ٦٨

“Pada hari ketika muka mereka dibolak-balikkan dalam Neraka, mereka berkata, ‘Alangkah baiknya, andai kata kami taat kepada Allah dan taat (pula) kepada Rasul.’ (66) Dan mereka berkata, ‘Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mentaati pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar kami, lalu mereka menyesatkan kami daripada jalan (yang benar)! (67) Wahai Tuhan kami, timpakanlah kepada mereka azab dua kali lipat dan kutuklah mereka dengan kutukan yang besar.’ (68)” [Surah al-Ahzab: 66-68]

Rasulullah SAW menjadi ketua negara, sebagaimana Nabi Dawud AS juga pernah menjadi khalifah dan Nabi Sulaiman AS yang menjadi raja sebelumnya. Ramai dalam kalangan para anbiya’ yang tidak sempat menyaksikan kemenangan perjuangan mereka yang disambung oleh para sahabat yang setia kepada mereka sehingga berjaya memerintah negara dengan kuasa politik yang dicapai.

Rasulullah SAW mengekalkan raja-raja yang menerima Islam untuk terus memerintah berdasarkan prinsip berperlembagaan, pada masa yang sama menentang para pemimpin dan kuasa besar dunia yang menentang Islam. Hal ini demikian kerana, Islam telah menetapkan sistem pemerintahan yang berpandukan syariat Allah yang berdaulat dan adil kepada semua manusia.

Para ulama’ secara ijmak menyatakan bahawa sekularisme yang memisahkan politik daripada agama bukanlah daripada ajaran Islam. Sebaliknya, ia adalah ajaran sesat yang dibawa oleh penjajah yang telah meminda kitab Allah yang diwahyukan kepada para anbiya’.

Allah SWT menegaskan peranan para anbiya’ yang diutuskan bersama kitab Allah bagi memerintah negara melalui firman-Nya:

كَانَ ٱلنَّاسُ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ فَبَعَثَ ٱللَّهُ ٱلنَّبِيِّ‍ۧنَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِيَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ فِيمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِۚ وَمَا ٱخۡتَلَفَ فِيهِ إِلَّا ٱلَّذِينَ أُوتُوهُ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُ بَغۡيَۢا بَيۡنَهُمۡۖ فَهَدَى ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِ مِنَ ٱلۡحَقِّ بِإِذۡنِهِۦۗ وَٱللَّهُ يَهۡدِي مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٍ ٢١٣

“Manusia itu ialah umat yang satu (setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi, sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar, untuk memberi keputusan antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana melampaui (sempadan Allah) antara mereka sendiri. Maka, Allah memberi petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.” [Surah al-Baqarah: 213]

Allah SWT berfirman kepada Rasulullah SAW:

إِنَّآ أَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِتَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ بِمَآ أَرَىٰكَ ٱللَّهُۚ وَلَا تَكُن لِّلۡخَآئِنِينَ خَصِيمٗا ١٠٥

“Sesungguhnya, Kami telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya kamu mengadili antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyu-Nya); dan janganlah kamu menjadi penentang (orang yang tidak bersalah) bagi (membela) orang-orang yang khianat.” [Surah al-Nisa’: 105]

Firman Allah SWT:

۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا ٥٩

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menunaikan segala jenis amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu supaya menghukum dengan adil. Sesungguhnya, Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya, Allah itu Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. (58) Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah, taatilah Rasul-Nya dan ulu al-amr (ulama’ dan umara’) antara kamu. Kemudian, jika kamu saling berbantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah (al-Quran) dan rasul-Nya (al-Sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Oleh yang demikian, perkara itu adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. (59)” [Surah al-Nisa’: 58-59]

Para ulama’ tafsir menegaskan bahawa ulu al-amr merujuk kepada gabungan umara’ (pemimpin) dan ulama’ yang menggantikan peranan para anbiya’. Pemimpin bertanggungjawab menjaga amanah kuasa politik, manakala ulama’ memelihara amanah ilmu agama yang memandu seluruh cara hidup manusia.

Sejarah mencatatkan bahawa semua imam mazhab yang besar pernah mengalami penindasan, sama ada dipenjara atau dihukum, kerana keberanian mereka menentang kezaliman pemerintah pada zaman masing-masing. Antaranya, Imam Sa‘id bin Jubair dibunuh dengan dipancung kepalanya, Imam Abu Hanifah meninggal dunia dalam penjara, Imam Malik pula dihukum sebat, manakala Imam al-Syafi‘i dibelenggu dan Imam Ahmad bin Hanbal pula dihukum sebat.

Semua ulama’ yang meninggalkan pusaka ilmu dalam kitab yang muktabar pada hari ini berjuang politik yang menjadi waris para anbiya’ yang mewarisi ilmu dan perjuangan mereka.

Adapun ulama’ upahan akan hilang ditelan zaman kerana mencari kesenangan dunia yang sementara waktu. Allah SWT berfirman mengenai golongan ulama’ yang hanya berwawasan dunia sahaja tanpa memikirkan akhirat:

وَٱتۡلُ عَلَيۡهِمۡ نَبَأَ ٱلَّذِيٓ ءَاتَيۡنَٰهُ ءَايَٰتِنَا فَٱنسَلَخَ مِنۡهَا فَأَتۡبَعَهُ ٱلشَّيۡطَٰنُ فَكَانَ مِنَ ٱلۡغَاوِينَ ١٧٥ وَلَوۡ شِئۡنَا لَرَفَعۡنَٰهُ بِهَا وَلَٰكِنَّهُۥٓ أَخۡلَدَ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُۚ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ ٱلۡكَلۡبِ إِن تَحۡمِلۡ عَلَيۡهِ يَلۡهَثۡ أَوۡ تَتۡرُكۡهُ يَلۡهَثۚ ذَّالِكَ مَثَلُ ٱلۡقَوۡمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِ‍َٔايَٰتِنَاۚ فَٱقۡصُصِ ٱلۡقَصَصَ لَعَلَّهُمۡ يَتَفَكَّرُونَ ١٧٦

“Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang telah Kami berikan kepadanya ayat-ayat Kami (pengetahuan tentang isi al-Kitab), kemudian dia melepaskan diri daripada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda), maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat. (175) Dan kalau Kami menghendaki, sesungguhnya Kami tinggikan (darjatnya) dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menuruti hawa nafsunya yang rendah, maka perumpamaannya seperti anjing. Jika kamu menghalaunya dijulurkan lidahnya dan jika kamu membiarkannya dijulurkan lidahnya (juga). Demikian itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka, ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir. (176)” [Surah al-A‘raf: 175-176]

Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡتُمُونَ مَآ أَنزَلۡنَا مِنَ ٱلۡبَيِّنَٰتِ وَٱلۡهُدَىٰ مِنۢ بَعۡدِ مَا بَيَّنَّـٰهُ لِلنَّاسِ فِي ٱلۡكِتَٰبِ أُوْلَـٰٓئِكَ يَلۡعَنُهُمُ ٱللَّهُ وَيَلۡعَنُهُمُ ٱللَّـٰعِنُونَ ١٥٩ إِلَّا ٱلَّذِينَ تَابُواْ وَأَصۡلَحُواْ وَبَيَّنُواْ فَأُوْلَـٰٓئِكَ أَتُوبُ عَلَيۡهِمۡ وَأَنَا ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِيمُ ١٦٠

“Sesungguhnya, orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan-keterangan (yang jelas) dan petunjuk, setelah Kami menerangkannya kepada manusia dalam al-Kitab, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh semua (makhluk) yang dapat melaknati. (159) Kecuali mereka yang telah bertaubat dan mengadakan perbaikan (amal) dan menerangkan (kebenaran), maka terhadap mereka itulah Aku menerima taubatnya dan Aku Maha Penerima Taubat, lagi Maha Penyayang. (160)” [Surah al-Baqarah: 159-160]

Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡتُمُونَ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَيَشۡتَرُونَ بِهِۦ ثَمَنٗا قَلِيلًا أُوْلَـٰٓئِكَ مَا يَأۡكُلُونَ فِي بُطُونِهِمۡ إِلَّا ٱلنَّارَ وَلَا يُكَلِّمُهُمُ ٱللَّهُ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ وَلَا يُزَكِّيهِمۡ وَلَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٌ ١٧٤ أُوْلَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ ٱشۡتَرَوُاْ ٱلضَّلَٰلَةَ بِٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡعَذَابَ بِٱلۡمَغۡفِرَةِۚ فَمَآ أَصۡبَرَهُمۡ عَلَى ٱلنَّارِ ١٧٥

“Sesungguhnya, orang-orang yang menyembunyikan apa-apa yang telah diturunkan Allah, iaitu al-Kitab dan menjualnya dengan harga yang sedikit (murah), mereka itu sebenarnya tidak memakan (tidak menelan) ke dalam perutnya melainkan api, dan Allah tidak akan berbicara kepada mereka pada Hari Kiamat dan tidak menyucikan mereka, dan bagi mereka seksa yang amat pedih. (174) Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan petunjuk dan seksaan dengan ampunan. Maka, alangkah beraninya mereka menentang api Neraka! (175)” [Surah al-Baqarah: 174-175]

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 9 Sya‘ban 1446 / 8 Februari 2025

[Bil: 10 / 2025]