Home Minda Presiden

ULAMA’ PEWARIS PUSAKA PARA ANBIYA’

9
SHARE

Minda Presiden PAS
[Bil: 47 / 2025]
ULAMA’ PEWARIS PUSAKA PARA ANBIYA’


Firman Allah SWT:

…يَرۡفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡعِلۡمَ دَرَجَٰتٖۚ … ١١

“…Allah akan meninggikan (darjat) orang-orang yang beriman antara kamu dan orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan agama dalam kalangan kamu beberapa darjat…” [Surah al-Mujadalah: 11]

Sabda Rasulullah SAW:

وَفَضْلُ العَالِمِ عَلَى العَابِدِ، ‌كَفَضْلِ ‌القَمَرِ عَلَى سَائِرِ الكَوَاكِبِ.

“Kelebihan seseorang yang berilmu agama mengatasi seseorang ahli ibadat, laksana kelebihan bulan mengatasi segala bintang cakerawala.” [Riwayat al-Tirmizi, Sunan al-Tirmizi, Abwab al-‘Ilm, No. 2682, daripada Abu al-Darda’]

Sabda Rasulullah SAW:

إِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ، إِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا، إِنَّمَا وَرَّثُوا الْعِلْمَ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ.

“Sesungguhnya, para ulama’ itu pewaris para anbiya’ (yang menerima pusaka mereka). Sesungguhnya, para anbiya’ tidak meninggalkan pusaka duit dinar dan dirham (harta), (tetapi) mereka meninggalkan pusaka ilmu. Maka, sesiapa yang dapat menerimanya, nescaya dia beruntung besar.” [Riwayat Ibn Majah, Sunan Ibn Majah, Iftitah al-Kitab fi al-Iman wa Fada’il al-Sahabah wa al-‘Ilm, No. 223, daripada Abu al-Darda’]

Rasulullah SAW bersabda menjelaskan bahawa bukan berilmu sahaja yang disyaratkan, bahkan perlu bertafaqquh:

مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ.

“Sesiapa yang Allah menghendaki kebaikan kepadanya, nescaya Allah menjadikannya memahami urusan agama (ilmu Islam).” [Riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-‘Ilm, No. 71, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Zakah, No. 1037, daripada Mu‘awiyah bin Abi Sufyan]

Bukan sahaja berilmu, bahkan wajib disertakan dengan bertafaqquh (memahami ilmunya) bagi melaksanakannya dalam lapangan hidup dengan cara yang betul dan bijaksana mengikut siasah syar‘iyyah (pengurusannya) dan maqasid al-syari‘ah (tujuan daripada syariat).

Hadis ini bagi mentafsirkan firman Allah SWT:

۞وَمَا كَانَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَآفَّةٗۚ فَلَوۡلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرۡقَةٖ مِّنۡهُمۡ طَآئِفَةٞ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي ٱلدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوۡمَهُمۡ إِذَا رَجَعُوٓاْ إِلَيۡهِمۡ لَعَلَّهُمۡ يَحۡذَرُونَ ١٢٢

“Dan tidaklah sepatutnya orang-orang yang beriman itu semuanya pergi (ke medan perang). Mengapa tidak pergi sebahagian daripada mereka (yang tinggal) untuk bertafaqquh (memperdalam pengetahuan dan kefahaman mereka tentang agama), dan untuk memberikan peringatan kepada kaumnya (yang keluar berjuang) apabila mereka telah kembali kepadanya; supaya mereka dapat menjaga dirinya (daripada melakukan larangan Allah dengan petunjuk-Nya).” [Surah al-Tawbah: 122]

Hal ini menunjukkan bahawa ilmu Islam perlu difahami secara mendalam, termasuk aspek pelaksanaan yang adil dan perjuangan menegakkannya, disertakan dengan kewaspadaan daripada fahaman yang salah.

Dalam peristiwa riddah (bencana murtad) yang berlaku selepas kewafatan Rasulullah SAW, ramai ulama’ daripada kalangan sahabat dan huffaz al-Quran gugur syahid di medan perang dalam usaha mempertahankan Islam yang berada dalam keadaan bahaya.

Begitulah pelbagai sifat waris yang menerima pusaka harta. Ada yang soleh, membawa berkat dan kebajikan kepada semua yang meninggal dan menerimanya. Ada pula yang fasiq dan derhaka, membawa keburukan yang merosakkan harta dan pemiliknya, malah tidak memberi kebajikan kepada individu yang meninggalkannya.

Begitu juga halnya dengan para ulama’ yang menerima pusaka ilmu agama para anbiya’ dan menyambung perjuangan mereka menegakkan Islam yang sempurna. Mereka mengikut jejak langkah para anbiya’ dengan tidak memisahkan dakwah dan perjuangan, serta menegakkan negara yang mendaulatkan Islam. Para anbiya’ telah berdakwah bukan sahaja kepada kaum masing-masing, bahkan juga kepada para pemerintah pada zaman mereka.

Al-Quran merupakan petunjuk sepanjang jalan yang menyuluh seluruh perjalanan hidup, termasuk peranan para ulama’ yang mewarisi pusaka para anbiya’.

Allah mewajibkan adanya kumpulan Islam yang mewarisi perjuangan para anbiya’, sebagaimana firman-Nya:

وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ١٠٤

“Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat (kumpulan) yang menyeru kepada kebajikan (berdakwah kepada Islam sebagai al-din), menyuruh kepada yang ma‘ruf, dan mencegah daripada yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” [Surah Ali ‘Imran: 104]

Mereka ialah kumpulan yang menegakkan Islam yang sempurna sehingga berkuasa, memerintah perkara yang baik diamalkan dan mencegah kemungkaran.
Firman Allah SWT:

ٱلَّذِينَ يُبَلِّغُونَ رِسَٰلَٰتِ ٱللَّهِ وَيَخۡشَوۡنَهُۥ وَلَا يَخۡشَوۡنَ أَحَدًا إِلَّا ٱللَّهَۗ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ حَسِيبٗا ٣٩

“(Iaitu) orang-orang yang menyampaikan risalah-risalah Allah, mereka takut kepada-Nya dan mereka tiada merasa takut kepada seorang (pun) selain kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai Pembuat Perhitungan.” [Surah al-Ahzab: 39]

Mereka melaksanakan jihad yang afdal, sebagaimana yang dinyatakan oleh sabda Rasulullah SAW:

‌أَفْضَلُ ‌الْجِهَادِ ‌كَلِمَةُ ‌عَدْلٍ ‌عندَ ‌سلْطَانٍ ‌جائِرٍ.

“Jihad yang paling afdal ialah ucapan menasihati kerajaan yang zalim (supaya berlaku adil).” [Riwayat Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Kitab al-Malahim, No. 4344, al-Tirmizi, Sunan al-Tirmizi, Abwab al-Fitan, No. 2174 dan lain-lain perawi daripada Abu Sa‘id al-Khudri]

Firman Allah SWT lagi:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَن يَرۡتَدَّ مِنكُمۡ عَن دِينِهِۦ فَسَوۡفَ يَأۡتِي ٱللَّهُ بِقَوۡمٖ يُحِبُّهُمۡ وَيُحِبُّونَهُۥٓ أَذِلَّةٍ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى ٱلۡكَٰفِرِينَ يُجَٰهِدُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوۡمَةَ لَآئِمٖۚ ذَٰلِكَ فَضۡلُ ٱللَّهِ يُؤۡتِيهِ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ ٥٤ إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُمۡ رَٰكِعُونَ ٥٥

“Wahai orang-orang yang beriman, sesiapa antara kamu yang menyeleweng daripada agamanya, maka kelak, Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang Mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela! Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui. (54) Sesungguhnya, penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah). (55)” [Surah al-Ma’idah: 54-55]

Pada setiap zaman, adanya kumpulan Islam yang berjuang mempertahan dan menegakkan Islam dengan berwala’ (memberi kesetiaan) kepada Allah dan Rasul, serta berani menghadapi penentangnya. Maka, para ulama’ mengambil peranan yang penting demi mendapatkan perjalanan yang istiqamah, dan jangan mencari jalan mudah sehingga sanggup mengampu.

Al-Quran mendedahkan adanya kumpulan ulama’ jahat dan khianat terhadap agamanya. Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡتُمُونَ مَآ أَنزَلۡنَا مِنَ ٱلۡبَيِّنَٰتِ وَٱلۡهُدَىٰ مِنۢ بَعۡدِ مَا بَيَّنَّـٰهُ لِلنَّاسِ فِي ٱلۡكِتَٰبِ أُوْلَـٰٓئِكَ يَلۡعَنُهُمُ ٱللَّهُ وَيَلۡعَنُهُمُ ٱللَّـٰعِنُونَ ١٥٩

“Sesungguhnya, orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan-keterangan (yang jelas) dan petunjuk, setelah Kami menerangkannya kepada manusia dalam Kitab, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh semua (makhluk) yang dapat melaknati.” [Surah al-Baqarah: 159]

Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡتُمُونَ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَيَشۡتَرُونَ بِهِۦ ثَمَنٗا قَلِيلًا أُوْلَـٰٓئِكَ مَا يَأۡكُلُونَ فِي بُطُونِهِمۡ إِلَّا ٱلنَّارَ وَلَا يُكَلِّمُهُمُ ٱللَّهُ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ وَلَا يُزَكِّيهِمۡ وَلَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٌ ١٧٤

“Sesungguhnya, orang-orang yang menyembunyikan apa-apa yang telah diturunkan Allah, iaitu al-Kitab dan menjualnya dengan harga yang sedikit (murah), mereka itu sebenarnya tidak memakan (tidak menelan) ke dalam perutnya melainkan api, dan Allah tidak akan berbicara kepada mereka pada Hari Kiamat dan tidak menyucikan mereka, dan bagi mereka seksa yang amat pedih.” [Surah al-Baqarah: 174]

Allah menghina ulama’ yang dipergunakan oleh musuh Islam, sebagaimana yang disebut dalam firman-Nya:


وَٱتۡلُ عَلَيۡهِمۡ نَبَأَ ٱلَّذِيٓ ءَاتَيۡنَٰهُ ءَايَٰتِنَا فَٱنسَلَخَ مِنۡهَا فَأَتۡبَعَهُ ٱلشَّيۡطَٰنُ فَكَانَ مِنَ ٱلۡغَاوِينَ ١٧٥ وَلَوۡ شِئۡنَالَرَفَعۡنَٰهُ بِهَا وَلَٰكِنَّهُۥٓ أَخۡلَدَ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُۚ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ ٱلۡكَلۡبِ إِن تَحۡمِلۡ عَلَيۡهِ يَلۡهَثۡ أَوۡ تَتۡرُكۡهُ يَلۡهَثۚ ذَّالِكَ مَثَلُ ٱلۡقَوۡمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِ‍َٔايَٰتِنَاۚ فَٱقۡصُصِ ٱلۡقَصَصَ لَعَلَّهُمۡ يَتَفَكَّرُونَ ١٧٦

سَآءَ مَثَلًا ٱلۡقَوۡمُ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِ‍َٔايَٰتِنَا وَأَنفُسَهُمۡ كَانُواْ يَظۡلِمُونَ ١٧٧

“Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang telah Kami berikan kepadanya ayat-ayat Kami (pengetahuan tentang isi al-Kitab), kemudian dia melepaskan diri daripada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda), maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat. (175) Dan kalau Kami menghendaki, sesungguhnya Kami tinggikan (darjatnya) dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menuruti hawa nafsunya yang rendah, maka perumpamaannya seperti anjing. Jika kamu menghalaunya dijulurkan lidahnya dan jika kamu membiarkannya dijulurkan lidahnya (juga). Demikian itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka, ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir. (176) Amat buruklah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan kepada diri mereka sendirilah mereka berbuat zalim. (177)” [Surah al-A‘raf: 175-177]

Ayat ini menunjukkan betapa para ulama’ boleh digoda sehingga menjadi penentang Islam apabila kalah dilobi oleh syaitan dan bala tenteranya dengan harta, takhta dan segala kemewahan dunia. Mereka merupakan kalangan ulama’ yang mengkhianati pusaka para anbiya’.

Imam al-Ghazali RH dalam kitab Ihya’ Ulum al-Din membahagikan para ulama’ kepada ulama’ akhirat dan ulama’ dunia sahaja atau ulama’ yang soleh dan ulama’ jahat.
Firman Allah SWT:

… فَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَقُولُ رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِي ٱلدُّنۡيَا وَمَا لَهُۥ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنۡ خَلَٰقٖ٢٠٠ وَمِنۡهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِي ٱلدُّنۡيَا حَسَنَةٗ وَفِي ٱلۡأٓخِرَةِ حَسَنَةٗ وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ ٢٠١ أُوْلَـٰٓئِكَ لَهُمۡ نَصِيبٞ مِّمَّا كَسَبُواْۚ وَٱللَّهُ سَرِيعُ ٱلۡحِسَابِ ٢٠٢

“…Maka, antara manusia ada orang yang berdoa, ‘Wahai Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia,’ dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat. (200) Dan antara mereka ada orang yang berdoa, ‘Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat serta peliharalah kami daripada seksa Neraka.’ (201) Mereka itulah orang-orang yang mendapat bahagian daripada yang mereka usahakan; dan Allah sangat cepat perhitungan-Nya. (202)” [Surah al-Baqarah: 200–202]

Begitulah berpecahnya sikap dan pendirian manusia apabila menghadapi ujian dalam kehidupan dunia.

Firman Allah SWT:

تَبَٰرَكَ ٱلَّذِي بِيَدِهِ ٱلۡمُلۡكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ ١ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ ٢

“Maha Suci Allah, Tuhan yang menguasai kerajaan (pemerintahan); dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. (1) Dialah Tuhan yang telah menjadikan mati dan hidup untuk menguji kalian, siapakah antara kalian yang lebih baik amalannya; dan Dia Maha Perkasa, lagi Maha Pengampun. (2).” [Surah al-Mulk: 1-2]

Sejarah para ulama’ muktabar dalam semua mazhab yang bertaraf imam adalah kalangan mereka yang berilmu, bertafaqquh, beramal dan berjuang dengan gagah berani. Di samping itu, mereka tidak boleh dibeli dan tidak rela menjadi pengampu demi menegakkan Islam yang menjadi ilmunya yang mulia.

Kitab-kitab karangan mereka menjadi rujukan yang beramanah kerana ilmu mereka yang tinggi, mulia dan berkat. Mereka mengikut jejak teladan para anbiya’. Ada yang wafat kerana sakit dan tua, namun tetap berjuang sepanjang hayatnya. Malah, ada juga yang syahid dibunuh dan mati di dalam penjara.

Imam dalam ilmu tafsir, Sa‘id bin Jubair RH, mati syahid dipancung kepalanya, Imam Abu Hanifah RH mati di dalam penjara, manakala Imam Malik dan Imam Syafi‘i RH pula pernah ditahan dan dibelenggu dengan rantai. Adapun Imam Ahmad bin Hanbal RH disebat sehingga berlumuran darah, Khalifah ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz pula mati diracun.
Begitu juga para ulama’ Ahli al-Bait (keluarga Rasulullah SAW) dan banyak lagi senarai perjuangan para ulama’ yang benar-benar menjadi waris para anbiya’. Termasuklah pada zaman menentang penjajah, para ulama’ yang berjuang dibelasah dengan hukuman mati, dipenjarakan, dan menjadi buangan keluar di tempat yang jauh.

Seterusnya, Islam tidak mati kerana tetap ada kumpulan yang mewarisi perjuangan para anbiya’. Allah memilih Nabi Ibrahim AS, bapa para anbiya’ yang disanjung oleh penganut semua agama. Firman Allah SWT:

۞وَإِذِ ٱبۡتَلَىٰٓ إِبۡرَٰهِ‍ۧمَ رَبُّهُۥ بِكَلِمَٰتٖ فَأَتَمَّهُنَّۖ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامٗاۖ قَالَ وَمِن ذُرِّيَّتِيۖ قَالَ لَا يَنَالُ عَهۡدِي ٱلظَّـٰلِمِينَ ١٢٤

“Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman, ‘Sesungguhnya, Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia.’ Ibrahim berkata, ‘(Dan aku mohon juga) daripada keturunanku.’ Allah berfirman, ‘Janji-Ku (ini) tidak mengenai orang yang zalim.’” [Surah al-Baqarah: 124]

Ibrahim AS diberikan gelaran bapa bagi para anbiya’, kerana daripada zuriatnya lahir para anbiya’ Bani Isra’il dan nabi akhir zaman, Nabi Muhammad SAW yang berdakwah kepada Islam (al-din). Mereka mengajak seluruh manusia supaya beribadat kepada Allah dan memakmurkan dunia dengan Islam, serta menunaikan amanah melaksanakan hukum syariat Allah dalam segala lapangan. Bukan sekadar mengajar menyampaikan ilmu dan beramal dengan ilmu petunjuk daripada Allah.

Akibatnya, Nabi Ibrahim AS dihukum bunuh dengan dibakar dalam api yang besar, namun Allah menyelamatkannya secara mukjizat. Seterusnya, Baginda AS dihalau dari tanah airnya.

Begitulah cabaran yang dihadapi oleh para anbiya’. Maka, para ulama’ yang menerima pusaka ilmu daripada para anbiya’ pasti menghadapi ujian yang sama.

Allah mewajibkan para ulama’ menunaikan amanah ilmu Allah bagi menyelamatkan manusia yang terpengaruh dengan bahaya ajaran yang sesat dan terpesong daripada jalan Islam yang lurus.

‘Abdullah bin Mas‘ud RA menegaskan:

إِنَّكُمْ فِي زَمَانٍ: كَثِيرٌ فُقَهَاؤُهُ، قَلِيلٌ خُطَبَاؤُهُ، قَلِيلٌ سُؤَّالُهُ، كَثِيرٌ مُعْطُوهُ، الْعَمَلُ فِيهِ قَائِدٌ لِلْهَوَى. وَسَيَأْتِي مِنْ بَعْدِكُمْ زَمَانٌ: قَلِيلٌ فُقَهَاؤُهُ، كَثِيرٌ خُطَبَاؤُهُ، كَثِيرٌ سُؤَّالُهُ، قَلِيلٌ مُعْطُوهُ، الْهَوَى فِيهِ قَائِدٌ لِلْعَمَلِ، اعْلَمُوا أَنَّ حُسْنَ الْهَدْيِ فِي آخِرِ الزَّمَانِ خيرٌ مِنْ بَعْضِ الْعًمَل.

“Sesungguhnya, kamu berada pada satu zaman; ramainya para fuqaha’ (yang memahami agama), sedikitnya para khatib (penceramah), sedikit yang bertanya (soalan agama) namun ramai yang memberi (jawapan dan fatwa), dan amalan dikendalikan oleh petunjuk syariat, bukan oleh hawa nafsu. Akan datang selepas kamu satu zaman; sedikitnya para fuqaha’, ramainya para khatib, dan ramai yang bertanya namun sedikit yang memberi jawapan, dan hawa nafsu menjadi pemimpin dalam setiap perbuatan. Ketahuilah bahawa petunjuk yang baik (mengikuti jalan yang benar) pada akhir zaman itu lebih baik daripada mengerjakan sebahagian amalan.” [Riwayat al-Darimi, Sunan al-Darimi, Kitab al-Muqaddimah, No. 213]

Ramai yang menghafaz al-Quran, tetapi sedikit sahaja yang memahaminya dan berjuang untuk menegakkannya. Bahkan, ramai juga yang berlagak menjadi pemimpin, tetapi sangatlah payah mencari siapa daripada kalangan mereka yang menunaikan amanah. Namun, Islam tetap dipelihara oleh Allah. Cahayanya tidak boleh dipadamkan oleh musuhnya yang datang dari segenap penjuru.

Para ulama’ wajib menunaikan amanah ilmu para anbiya’ dan berjuang menegakkan Islam mengatasi segala petunjuk yang lain. Allah SWT berfirman menceritakan tentang Bani Isra’il bahawa selepas Nabi Musa AS, adanya para pemimpin yang setia dan
istiqamah. Begitulah juga bagi umat Muhammad SAW, sebagaimana firman Allah SWT:

وَجَعَلۡنَا مِنۡهُمۡ أَئِمَّةٗ يَهۡدُونَ بِأَمۡرِنَا لَمَّا صَبَرُواْۖ وَكَانُواْ بِ‍َٔايَٰتِنَا يُوقِنُونَ ٢٤

“Dan Kami jadikan antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar. Dan adalah mereka meyakini ayat-ayat Kami.” [Surah al-Sajdah: 24]

Para ulama’ berperanan menggantikan para anbiya’ apabila menerima pusaka ilmu Islam melalui wahyu dan hikmah sunnah nabawiah. Para anbiya’ wajib bersifat benar, amanah dan tabligh (menyampaikan dengan benar dan amanah). Maka, diharamkan para ulama’ menjadi pengampu kepada pihak yang berkuasa yang zalim dan khianat.

Sesungguhnya, para ulama’ yang tidak istiqamah melaksanakan amar ma‘ruf dan nahi munkar dengan sekuat-kuat iman menjadi contoh yang buruk kepada masyarakat umum. Kalau mereka diam sahaja, nescaya menjadi syaitan bisu yang dipandang bahawa diamnya adalah membenarkan kemungkaran.

Sabda Rasulullah SAW:

مَا مِنْ نَبيٍّ بَعَثَهُ اللهُ فِي أُمَّةٍ قَبْلِي إِلَّا كَانَ لَهُ مِنْ أُمَّتِهِ حَوَارِيُّونَ وَأَصْحَابٌ يَأْخُذُونَ بِسُنَّتِهِ وَيَقْتَدُونَ بِأَمْرِهِ، ثُمَّ إِنَّهَا تَخْلُفُ مِنْ بَعْدِهِمْ خُلُوفٌ، ‌يَقُولُونَ ‌مَا ‌لَا ‌يَفْعَلُونَ، ‌وَيَفْعَلُونَ ‌مَا ‌لَا ‌يُؤْمَرُونَ، فَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِيَدِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِلِسَانِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِقَلْبِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَلَيْسَ وَرَاءَ ذَلِكَ مِنَ الْإِيمَانِ حَبَّةُ خَرْدَلٍ.

“Tidak dibiarkan seseorang nabi yang diutus oleh Allah kepada umat sebelum aku berkeseorangan, melainkan ada bersamanya dalam kalangan umatnya para pengikut yang setia (hawariyyun) serta para sahabat yang mewarisi ajarannya dan patuh kepada perintahnya. Kemudian, selepas nabi itu tiada lagi (wafat) berlaku penyelewengan (meninggalkan ajarannya), ada kalangan mereka itu yang bercakap perkara yang tidak diamalkan dan mengadakan perkara yang tidak disuruh oleh agama. Oleh itu, sesiapa yang berjihad (berjuang) menentang dengan tangan (melalui kuasa), maka dia beriman. Sesiapa yang berjihad dengan lidahnya, maka dia beriman. Dan sesiapa yang berjihad dengan hatinya, maka dia beriman. Tidak ada lagi iman selepasnya walau sebesar biji sawi yang paling kecil.” [Riwayat Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Iman, No. 50, daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud]

Mereka itu ialah para ulama’ sahabat dan tabiin yang bersambung sepanjang zaman.
Kita sedang menghadapi bencana ramai orang terpelajar, tetapi mereka tidak memahami peranan ilmu dan menunaikan amanahnya. Malah, ramai pula yang tidak berilmu bercakap dalam perkara yang besar secara jahil dan menjadi pembohong yang merosakkan masyarakat. Sesiapa yang terpencil daripada jemaah (kumpulan) Islam yang sebenar mudah menjadi mangsa syaitan yang menggodanya.

Hanya para ulama’ yang benar-benar menjadi pewaris pusaka anbiya’, namanya tetap hidup bersama ilmunya yang berkat bercahaya tidak padam bertali arus. Adapun yang hanya berilmu dan tidak beramal dengan ilmunya tenggelam ditelan zaman bersama pondok dan pusat pengajiannya dikuburkan bersamanya.

Allah memberi petunjuk dengan firman-Nya:

فَٱسۡتَقِمۡ كَمَآ أُمِرۡتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطۡغَوۡاْۚ إِنَّهُۥ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرٞ ١١٢ وَلَا تَرۡكَنُوٓاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنۡ أَوۡلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ ١١٣

“Maka, tetaplah kamu pada jalan yang benar (istiqamah), sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah taubat berserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya, Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan. (112) Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolong pun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberikan pertolongan. (113)” [Surah Hud: 112-113]

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 3 Safar 1447 / 28 Julai 2025

SHARE
Previous articleGraduan INSTEP mahu bantu keluarga