Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) memandang serius Keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Lai Hen Beng lwn Pendakwaraya yang telah membatalkan Seksyen 498 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan seseorang menggoda atau memikat isteri orang. Akibatnya perbuatan tersebut sudah tidak lagi menjadi kesalahan yang boleh didakwa dan dijatuhi hukuman berdasar Kanun Keseksaan.
DUPP berpandangan peruntukan Seksyen 498 tersebut adalah bertepatan dengan asas utama hukum syarak yang bertujuan mencegah keburukan (mafsadah) dan memelihara kebaikan (maslahah) hidup manusia. Perlakuan menggoda atau memikat isteri orang jika tidak dianggap satu kesalahan, akan mendorong dan menggalakkan skandal dan perbuatan terlarang iaitu perlecehan seksual dan perzinaan antara anggota jabatan, oraganisasi mahupun masyarakat secara umum.
Seksyen 498 adalah berbentuk preventive law (undang-undang pencegahan) berasaskan konsep sadd al-zara’ie (menutup pintu kejahatan) dalam Usul al-Fiqh. Malah ianya bertujuan untuk menjaga maruah, keturunan dan keharmonian rumahtangga menurut maqasid syariah.
Dewan Ulama PAS Pusat juga ingin menarik perhatian tentang wujudnya peruntukan yang hampir sama di dalam enakmen jenayah syariah negeri-negeri yang memperuntukkan sebagai contoh dalam Seksyen 36 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 iaitu kesalahan memujuk lari perempuan bersuami. DUPP mempersoalkan apakah peruntukan yang hampir sama ini juga akan turut terbatal kerana dianggap tidak berperlembagaan kerana unsur diskriminasi terhadap Wanita atau isteri sekaligus membuka ruang pintu skandal sesama rakan pejabat dan ahli masyarkat di peringkat negeri dan Persekutuan terbuka seluas-luasnya tanpa boleh diambil tindakan. Apakah perlakuan sebegini sudah tidak menjadi kesalahan dikalangan penjawat awam dan rakan sekerja yang banyak dilaporkan berlaku di tempat kerja?
DUPP berpandangan bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan peruntukan Seksyen 498 Kanun Keseksaan dengan alasan bertentangan degan Perlembagan Persekutuan dan diskriminasi ke atas wanita adalah tidak tepat dan bertentangan dengan Hadith Nabi SAW yang bermaksud “Dari Abu Hurairah RA: Bukan dari umatku orang yang menggoda atau memikat seorang wanita dari suaminya atau hamba dari tuannya”. Perbuatan ini juga di anggap perbuatan yang bertentangan dengan tatalaku dan etika penjawat awam. Hujjah yang mengatakan Seksyen 498 tersebut adalah menurut ajaran Bible adalah tidak berbangkit kerana selagi ianya diperakukan oleh al-Quran maka sebagai seorang yang beriman tiada dolak dalik dalam menerima sesuatu hukum yang ditetapkan oleh Allah SWT.
Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP) juga membangkitkan kebimbangan terhadap keputusan membatalkan peruntukan tersbut perbuatan memikat isteri orang dengan tujuan yang tidak bermoral akan memberi kesan pembatalan peruntukan yang hampir sama dalam enakmen jenayah syariah negeri-negeri yang sedang berkuatkuasa sekarang.
DUPP menggesa agar kesalahan memikat isteri orang atau memujuk lari perempuan bersuami terus dikekal dan dipertahankan kerana perlakuan ini akan mengundang perbuatan haram dan tidak bermoral yang dilarang agama dan akan menyebabkan keburukan dan mafsadah dalam kehidupan masyarkat dan institusi kekeluargaan. Masalah moral sebegini jika dibatalkan bakal melemahkan prestasi penjawat awam dan kecemerlangan dalam organisasi yang terpalit dengan perlakuan tersebut. Persoalan diskriminasi terhadap wanita atau isteri yang tidak mempunyai kuasa untuk mengadu jika suaminya di goda atau dipikat oleh wanita lain wajar ditangani dengan pendekatan yang lain bukan dengan membatalkan peruntukan yang terbukti dapat mengawal keburukan dari berlaku ibarat kata pepatah “prevention is better than cure”.
YB USTAZ DATO’ HAJI AHMAD BIN YAHAYA,
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat.
5 Jamadilakhir 1445 Hijri | 18 Disember 2023 Miladi