Oleh : Pyang Mamat
KEMAMAN – Perasaan kasih sayang, tolong menolong, rendah diri, tiada dengki dan bertolak ansur adalah kekuatan kepada sesebuah pertubuhan mahupun institusi itu dalam menjalankan gerak kerjanya.
Yang Dipertua Parti Islam SeMalaysia (PAS) Kawasan Kemaman, Yang Berhormat Ustaz Che Alias Hamid menyatakan setiap individu di dalam parti perlu saling hormat menghormati di antara satu sama lain.
“Ikatan persaudaraan sesama kita adalah elemen yang amat penting di dalam pembentukan sesebuah jemaah ataupun persatuan dan ianya perlu disemaikan di dalam setiap naluri ahlinya.
“Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara, maka damaikanlah diantara kedua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.
“Kemenangan demi kemenangan yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita adalah hasil daripada ukhuwah, kekuatan dan kehebatan yang sama-sama kita bina selama ini,” kata beliau.
Beliau berucap ketika sesi taujihad di program Rehlah Tarbawi PAS Kawasan Kemaman yang diadakan selama dua hari di Tasik Kenyir pada 9 dan 10 Februari lalu.
Beliau yang juga sebagai Ahli Parlimen Kemaman berkata, setiap jemaah tidak akan lekang dengan masalah dalaman tetapi ianya boleh dihuraikan dengan bermuzakarah.
“Tidak dinafikan sedikit sebanyak kelemahan yang kita hadapi, tapi ianya boleh diselesai dan dipertingkatkan dalam perbincangan sesama kita,” jelasnya.
Turut hadir adalah sayap-sayap utama parti termasuk jawatankuasa Pemuda, Muslimat, Ulama’, Ameerah dan petugas pejabat PAS Kawasan Kemaman.