Home Berita PAS Pahang

Ubah sokongan sementara kepada kekal

73
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 5 Feb. – Ahli Dewan Negeri (ADUN) Jabi, YB Dr. Azman Ibrahim menegaskan pentingnya menukarkan sokongan sementara anak muda kepada sokongan kekal dalam perjuangan politik PAS.

Menurutnya, kepercayaan ini memberi kelebihan kepada PAS dalam menarik sokongan anak muda semasa PRU 15, tetapi cabaran utama adalah mengekalkan sokongan itu secara berterusan.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Perasmian Berkelompok Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan PAS Kawasan Indera Mahkota di PUTRA Balok di sini kelmarin.

“Untuk mengekalkan sokongan tersebut, hanya orang setempat sahaja lebih memahami bagaimana hendak mengekalkan sokongan, setiap isu perlu ditangani dengan berfakta, orang tidak berminat lagi dengan politik peribadi,” tambahnya lagi.

Selain itu katanya, perjuangan PAS bukan milik individu tetapi kesinambungan daripada generasi terdahulu yang perlu dijaga.

“Jangan takut untuk meneruskan perjuangan ini, kerana perjuangan ini ada tuannya, iaitu Allah. Segala perbendaharaan dan kekayaan di dunia ini adalah milikNya dan Allah tidak akan membiarkan orang yang berjuang demi agamanya hidup dalam kehinaan dan kepapaan,” tegasnya lagi.

Sementara itu, ADN Beserah YB Dato’ Andansura Rabu dalam ucapan aluannya menyeru seluruh ahli PAS untuk terus mengutamakan kebajikan rakyat serta memperkukuhkan ukhuwah dalam parti.

“Kita perlu bekerja dengan lebih tersusun, memastikan tiada sesiapa yang dipinggirkan dalam masyarakat, dan mengekalkan budaya politik matang dan sejahtera,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa amanah kepimpinan bukan sekadar tanggungjawab politik tetapi juga tuntutan agama yang perlu dilaksanakan dengan penuh integriti.

Majlis tersebut dihadiri oleh pimpinan PAS kawasan, ahli jawatankuasa DHPP, serta ahli jawatankuasa cawangan-cawangan di sekitar kawasan Indera Mahkota bagi memperkukuh gerak kerja parti menjelang cabaran politik masa hadapan.