Home Berita PAS Terengganu

Tutup Premis GISB : Terengganu tunggu fatwa muzakarah MKI

55
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri menunggu keputusan rasmi daripada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) sebelum memuktamadkan sebarang tindakan ke atas premis perniagaan milik GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pada ketika ini pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan.

“Di Terengganu ini tidaklah menonjol seperti di tempat-tempat yang lain, ia agak terkawal dan kesannya sangat minima.

“Kami di pihak kerajaan negeri masih menunggu maklumat yang jelas daripada mereka yang berautoriti menyiasat isu ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas menghadiri Program Townhall Persatuaan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata) di Duyong Marina resort, di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut, Dr Ahmad Samsuri berkata, tindakan menutup premis atau pembatalan lesen perniagaan organisasi tersebut dibuat berdasarkan keputusan fatwa Muzakarah MKI.

“Saya rasa sekarang ini premis mereka masih belum ditutup secara rasmi, kami juga masih menunggu sehingga ada keputusan rasmi, difahamkan Muzakarah MKI akan bersidang dalam masa terdekat.

“Kami tidak buat sebarang keputusan lagi kerana masih dalam tempoh pendakwaan, kita kena teliti dengan lebih lanjut agar tindakan diambil mengikut peraturan yang ada,” ujarnya.