KUALA TERENGGANU – Pemuda PAS Terengganu menegaskan bahawa himpunan Turun Anwar yang berlangsung hari ini merupakan manifestasi kesedaran rakyat terhadap kepimpinan negara, semakin tersasar daripada tanggungjawab menjaga kebajikan dan berlaku adil kepada semua negeri.
Menurut ketuanya, Ustaz Hamdi Harun berkata, suasana himpunan yang berlangsung sejak malam tadi kekal tenang dan aman, dengan kehadiran peserta dari pelbagai lapisan umur, khususnya anak-anak muda, hadir membawa semangat cintakan negeri dan negara.
“Ramai rakyat dari pelbagai lapisan umur, terutama anak-anak muda, yang hadir dengan semangat.
“Ini tanda rakyat semakin sedar dan mahu bersuara secara aman terhadap isu yang membebankan mereka,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi pada pagi ini.
Ustaz Hamdi menjelaskan bahawa himpunan ini bukan sekadar menuntut bayaran royalti minyak, tetapi mencakupi isu-isu besar yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
“Antara isu yang dibawa dalam himpunan ini bukan hanya soal royalti, tapi lebih luas termasuk kos sara hidup yang makin menekan, masalah ekonomi negara, layanan tak adil terhadap negeri pembangkang, serta kegagalan kerajaan pusat menunaikan janji kepada rakyat.
“Kami di sini bukan nak cari gaduh. Tapi kami nak sampaikan mesej jelas rakyat sudah letih dengan pemimpin yang asyik berpolitik, tapi gagal urus negara dengan baik,” ujar beliau lagi.
Justeru itu, beliau menyeru semua peserta himpunan agar menjaga akhlak, disiplin dan berkelakuan tertib sepanjang program berlangsung, demi menjaga imej perjuangan serta semangat perpaduan rakyat.
“Insya Allah, himpunan petang nanti akan berlangsung secara aman.
“Kita mahu tunjukkan bahawa rakyat mampu berhimpun secara tertib untuk menuntut keadilan secara sah dan bermaruah,” katanya.
Beliau menambah, himpunan tersebut dijangka mencapai kemuncaknya pada sebelah petang, dengan penglibatan lebih ramai peserta yang terus tiba dari seluruh negara.