Home Berita PAS Melaka

Tunggu, rakyat akan hukum kamu Kit Siang! – Ustaz Abu Naufal

63
SHARE

Oleh IBNU JANIE

MASJID TANAH, 7 Jul : Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Melaka, Ustaz Abu Naufal Samsudin memberi amaran bahawa rakyat terutama umat Islam akan menghukum Lim Kit Siang (LKS) dan sekutu-sekutunya dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) atas kenyataan biadabnya terhadap Allah swt.

“Sabarlah wahai LKS dan sekutu-sekutu yang bersama anda, rakyat akan bersama-sama menghukum anda dalam PRU yang akan datang.

“Kebencian anda terhadap Islam tidak dapat disembunyikan lagi,” ujar beliau ketika dihubungi Wartawan Rakyat Melaka (WARM) pagi tadi.

Menurut Ustaz Abu Naufal hanya rasa marah dan kecewa yang tergambar apabila membaca hantaran itu yang jelas menunjukkan Kit Siang cuba menyelewengkan maksud sebenar artikel yang ditulis oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang itu.

Memetik tulisan asal Presiden PAS itu ‘Hanya Kerajaan Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Sempurna boleh menghapuskan wabak ini pada bila-bila masa’.

Adapun Kerajaan MANUSIA tetap menghadapi kekurangan dan kelemahan, serta wajib melakukan muhasabah bagi menampung kekurangan tersebut.

Beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Masjid Tanah itu menambah, ulasan yang menyeleweng tersebut boleh menimbulkan rasa kurang senang, kurang selesa kerana ia sangat menyentuh sensitiviti umat Islam di Malaysia.

“LKS sewajibnya membuat permohonan maaf secara terbuka berkenaan penyelewengan tulisannya itu yang boleh menimbulkan kebencian antara agama.

“Kepada rakan-rakan penyokong PH sedarlah anda di pihak yang tidak membawa keuntungan kepada umat Islam jika anda terus bersama dengan PH.

“Fikir dalam-dalam dan sejauhnya, adakah anda bersama dengan pimpinan yang betul dan perjuangan yang benar yang menguntungkan umat Islam?” soal beliau.

Senada dengan umat Islam yang lain, beliau mendesak agar tindakan yang lebih tegas perlu dilakukan kepada Kit Siang atau mana-mana individu dalam Malaysia ini yang mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan kebencian dan menggugat keharmonian antara agama dan kaum.

“Tindakan dan hukuman yang sama bagi semua pelaku kesalahan ini perlu dikenakan agar menjadi pengajaran pada semua.

“Kita tidak mahu tindakan atau pendakwaan terpilih dengan alasan beliau adalah YB Parlimen Pembangkang atau YB Kerajaan,” ujar beliau lagi.