Home Artikel PAS Perlis

Tunaikan Amanah Mendidik Demi Redha Allah

1727
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

KANGAR : Para guru PASTI diingatkan agar menunaikan tugas dengan penuh amanah sejajar dengan tuntutan Islam, demikian menurut Ustaz Asrul Aimran Abd Jalil.

Beliau yang merupakan Pengarah PASTI Negeri Perlis berkata, tugas mendidik bukan sekadar kerjaya semata-mata tetapi merupakan sebahagian daripada ibadah yang mesti ditunaikan dengan penuh keikhlasan.

Menurutnya lagi, ganjaran yang menanti mereka bukan sahaja keredhaan Allah S.W.T tetapi juga mendapat keampunan serta terhindar daripada azab neraka.

“Sebab itulah tugas mendidik ini dipandang mulia di sisi Allah, meskipun bebanannya berat, namun ganjaran yang dijanjikan oleh Allah sangatlah besar.

“Peliharalah etika kerja selain berkhidmat dengan penuh kesungguhan, insyaAllah kita akan beroleh kasih-sayang Allah S.W.T.,” katanya ketika menyampaikan pengisian sempena Usrah Perdana PASTI Negeri Peris Siri 1/2018 baru-baru ini.

Usrah kali pertama bagi tahun 2018 itu dihadiri oleh seramai 140 orang guru PASTI dari seluruh negeri Perlis.

Beliau turut mengingatkan para guru yang hadir agar mengelakkan diri daripada sifat-sifat mazmumah seperti hasad dengki, prasangka dan saling bermusuhan yang boleh merosakkan diri di samping memberikan imej negatif kepada institusi PASTI.

“Sifat-sifat buruk seperti ini menjadi penghalang kepada kita dalam melaksanakan tugas mendidik, yang akhirnya memberi kesan terhadap diri sendiri, anak didik serta institusi PASTI,” katanya.