Home Berita PAS Terengganu

Tun Mahathir ‘Pintu Gerbang’ pelabur masuk negeri SG4

85
SHARE

SHAH ALAM, 20 Oktober – PAS menyifatkan pelantikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Penasihat Kehormat ‘State Of Government Four’ (SG4) adalah ‘pintu gerbang’ kepada pelabur.

Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata Tun M akan menjadi jambatan kepada pelabur dalam dan luar negara atas pengalaman yang dimilikinya.

“Katanya, ditambah dengan panduan dan bimbingan berterusan dalam usaha menyatukan kekuatan di empat buah negeri yang ditadbir oleh PAS dan PN.

“Maka diwujudkan suatu blok kerjasama rentas negeri melibatkan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, yang dinamakan ‘SG4′” jelasnya.

Beliau berkata demikian berucap di Majlis Perasmian Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-69 bertempat di IDCC Ideal Convention Centre Shah Alam di sini hari ini.

Tambah Presiden PAS itu, bidang kerjasama yang telah dikenal pasti dalam SG4 meliputi aspek pelaburan, pertanian serta pendidikan.

Di samping itu katanya, pelancongan dan pembangunan mineral, melibatkan perkongsian modal, sumber dan kepakaran dalam kalangan anak tempatan turut diangkat.

“Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN, kedua-duanya adalah mantan Perdana Menteri yang mempunyai pengalaman dan jaringan berharga.

“Di peringkat parti, PAS juga mempunyai Majlis Penasihat Kerajaan Negeri yang akan bertindak sebagai badan pemantau.

“Juga pemerhati bertaraf Hisbah terhadap perjalanan pentadbiran Kerajaan, Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” ujarnya.