Home Berita PAS Terengganu

Tun M puji pelaburan, tarikan pelancongan Terengganu

26
SHARE

KUALA TERENGGANU – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memuji negeri Terengganu yang mempunyai banyak potensi termasuk kemasukan dan peluang pelaburan.

Tun Mahathir berkata sektor pelancongan juga begitu banyak daya tarikan dengan keindahan khazanah alam yang terdapat di negeri ini.

“Saya ucap terima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu dan YAB Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar atas jemputan ke Bengkel Hala Tuju Portfolio Exco Negeri Terengganu pagi tadi.

“Dengan pengalaman yang ada dalam pentadbiran Kerajaan bolehlah saya kongsikan sedikit sebanyak bagaimana sesebuah Kerajaan itu dapat dibangun dan dijayakan.

“Jika idea-idea baik dilaksana dan kena pada caranya saya yakin negeri ini dapat maju dan hebat setanding dengan negeri di pantai barat,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam hantaran di laman Facebook rasmi miliknya pada hari ini.

Tambah Tun Mahathir, kita juga perlu cekap dalam pentadbiran, orang politik perlu tahu bekerja dengan pegawai Kerajaan agar kerenah birokrasi dapat dielakkan dalam apa jua urusan Kerajaan.

Beliau berkata, kelulusan sesuatu permohonan misalnya tidak perlu dilengahkan sehingga orang jauh hati berurusan dengan Kerajaan.

Katanya, ini penting terutama apabila berurusan dengan pelabur serta disiplin dan beramanah, budaya kerja baik perlu sentiasa jadi amalan.

“Saya sempat kongsikan ketika menjadi Menteri Perdagangan dan Industri, saya dapati kakitangan suka pulang awal, seawal jam 3 petang.

“Bila ditanya kepada Ketua Setiausaha Kementerian, katanya mereka perlu pulang awal untuk elak sesak jalanraya.

“Saya fikir ini sikap tidak beramanah dan berdisiplin, kerana itu selepas dilantik jadi Perdana Menteri, kad perakam waktu diperkenal supaya kakitangan bekerja mengikut waktu dan jadual kerja sepatutnya,” ujarnya.

Di samping itu, Dasar Pandang ke Timur diperkenal kerana budaya dan cara kerja yang wajar jadi contoh dalam usaha memajukan negara.

“Selamat maju jaya diucap dan saya harap program sebegini mampu eratkan orang politik dan kumpulan pelaksana di peringkat Kerajaan Negeri dalam usaha memastikan semua peringkat berada dalam landasan dan objektif yang sama,” jelasnya.