Home Berita PAS Terengganu

Tukun tiruan bukan hanya ‘Rumah Ikan’

6
SHARE

MARANG – Kerajaan Terengganu dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melabuhkan sebanyak 18 Tukun Tiruan Kuboid Juvenil Penghalang Pukat Tunda (rekreasi) di perairan Jambu Bongkok, di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri  Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim memaklumkan, program berkenaan adalah siri pertama daripada lima siri program labuh tukun tiruan yang akan turut dilaksanakan iaitu di Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Rhu Sepuluh Setiu dan Beting Lintang, Besut dengan 18 unit tukun bagi setiap siri.

“Kita sasarkan ia bukan sahaja jadi peranti rumah untuk ikan, tetapi dalam masa yang sama bertindak sebagai penampan bagi menghalang aktiviti dan pencerobohan pukat tunda kepada zon tangkapan nelayan pantai pada jarak kira-kira lima batu nautika dari persisir pantai.

“Kalau kita tengok dari segi jumlah peningkatan hasil pendaratan, indikatornya jelas menunjukkan dalam konteks Terengganu bahawa nelayan pantai adalah penyumbang utama, iaitu lebih dari 60 peratus sehingga hampir 70 peratus jumlah tangkapan disumbangkan oleh nelayan pantai.

“Mungkin secara tidak langsung indikator ini adalah hasil dari program memperkaya sumber perikanan kita,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan yang turut dihadiri Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Dato’ Adnan Hussain.

Hadir sama dalam program tersebut ialah Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Pang Nyukang, Pengarah Perikanan Negeri Selangor, Noraisyah Abu Bakar dan Pegawai Daerah Marang, Zulkifly Isa.

Dr. Azman menambah, usaha itu turut menghasilkan peningkatan hasil pendaratan ikan di Terengganu.

“Kalau dibandingkan tahun 2022 dan 2023, terlalu jauh berbeza. Pada tahun 2022 sekitar 33,000 metrik tan, manakala pada 2023 naik kepada 46,000 metrik tan yang mencatatkan peningkatan sekitar 39 peratus yang turut menyumbang kepada peningkatan KDNK negeri Terengganu.

“Ini merupakan sebahagian rangka program besar kita yang telah dirasmikan oleh DYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada dua tahun lepas untuk kita wujudkan satu garisan tukun dari Kemaman sehingga ke Besut  yang melibatikan perairan sepanjang 245 kilometer dengan sasaran satu kelompok tukun bagi setiap kilometer, bemakna kita akan ada 245 kelompok tukun yang terdiri daripada 10 hingga 20 unit bagi setiap kelompok.

“Program ini tidak akan terhenti di sini, berapa jumlah yang dlabuhkan stiap tahun bergantung kepada jumlah peruntukan yang diperolehi, tetapi biasanya kita sasarkan dari 80 hingga 100 unit setiap tahun, kerjasama erat antara kementerian dan kerajaan negeri akhirnya akan membuahkan hasil,” katanya.

Dalam pada itu, Adnan menyatakan bahawa usaha berkenaan juga mendapat perhatian di peringkat persekutuan.

“Saya sangat menyanjung tinggi dan menghargai inisiatif kerajaan negeri Terengganu yang berusaha gigih untuk meningkatkan biodiversiti marin di negeri ini. Jadi, kita ada kerjasama strategik antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri di bawah KPKM seperti dimaklumkan  Dato’ Exco.

“Negeri Terengganu juga mendapat peruntukan RM2.9 juta untuk aktiviti tukun, malah ia lebih besar daripada peruntukan persekutuan di bawah Jabatan Perikanan Malaysia.

“Di Terengganu, kita melihat kepentingan di pantai timur ini perairannya yang luas serta di sini merupakan antara stok biodiversiti marin yang sangat kaya. Selain daripada kita ada Taman-taman Laut, tukun-tukun ini secara tidak  langsung dapat meningkatkan biodiversiti marin dan ia mempunyai  pelbagai fungsi seperti penghalang pukat tunda dan baik untuk pemancing rekreasi, serta dapat menambahkan pendapatan nelayan tradisi kita yang menggunakan bubu dan pukat hanyut.

“Saya juga harap perjuangan sebegini dapat kita teruskan di RMK ke-13 nanti,” tambahnya.

Dalam majlis yang diadakan tadi, Jabatan Perikanan Malaysia turut menyerahkan tujuh buat bot baharu kepada lima negeri iaitu Terengganu, Kedah, Selangor, Perak dan Perlis bagi  membantu meningkatkan penguatkuasaan konservarsi sumber perikanan negara.