KUALA NERUS – Kerajaan negeri menyarankan kepada seluruh warga nelayan agar tidak memonopoli tukun dan unjang komuniti yang telah dilabuhkan agar nikmat kekayaan hasil laut dapat dikongsi bersama.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, nasihat tersebut dikeluarkan susulan beberapa aduan diterima berkenaan penanda tukun di perairan negeri dipercayai dipotong.
“Bila kita labuhkan dua infrastruktur dalam air ini bertujuan bagi manfaat buat komuniti itu sendiri, maknanya ia adalah hak milik bersama.
“Jangan ada mana-mana pihak menguasai dan jadikan ia milik peribadi dengan menandakan koordinat GPS sendiri selepas memotong penanda, akhirnya orang lain tidak tahu di mana lokasi tukun yang kita bekerja keras ingin hasilkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Labuh Tukun Tiruan, di perairan Tok Jembal Kuala Nerus, baru-baru ini.
Berdasarkan maklumat dikeluarkan Jabatan Perikanan Terengganu, sebanyak 2,445 buah Vesel menangkap ikan yang berlesen di mana 1,305 buah adalah nelayan sampan 792 buah Vesel Zon A, 118 buah Vesel Zon B, 178 buah Vesel Zon C dan 52 buah Vesel Zon C2 2.
“Bilangan nelayan yang mengusahakan dan bekerja di atas bot-bot menangkap ikan berlesen adalah seramai 8,549 orang terdiri 6.340 orang (74 peratus) nelayan tempatan dan 2,209 orang (26 peratus) nelayan asing yang kebanyakkan adalah terdiri daripada rakyat Thailand dan Vietnam,” katanya.