Oleh: Fadilah Nordin
13 Mac 2025
Sepanggar: Ramadan kali ini menyaksikan kelajuan dan ketekunan Yang Berhormat (YB) Datuk Dr. Aliakbar Gulasan yang melaksanakan tujuh program padat dalam satu hari penuh barakah, kata Pegawai Khas YB, Hasruddin Syamsuddin.
“Bermula sahur hingga tarawih, beliau tidak henti-henti turun padang, bertemu dan berkongsi rezeki dengan masyarakat.
“Sejurus tiba dari Kuala Lumpur tengah malam semalam, seawal jam 4.00 pagi, YB Datuk telah berada di Kampung Tebobon Baru mengedarkan pek sahur, bersahur bersama penduduk kampung dan solat subuh bersama, ” kata Hasruddin.
Dr Aliakbar menunaikan solat di masjid yang diusahakan bermula tapak asas hingga siap dibina.
Pada hari yang sama, Dr Aliakbar turut menyantuni para ibu yang menghadiri Zikir Munajat AKIFI di Kampung Buronuon.
“Munajat dan usrah yang dahulunya menjadi budaya kampung, kini semakin berkembang dan menjadi trend positif, berpindah dari rumah ke rumah,” kata Hasruddin.
Dr Aliakbar kemudiannya bertemu dengan para penghantar makanan yang gigih mencari rezeki.
Beliau berkongsi rezeki dengan menaja minyak motor secara percuma, sebagai tanda sokongan agar perjalanan mereka lebih lancar dan semangat terus membara.
“Selepas solat Zohor, program diteruskan dengan memasak bubur lambuk secara rewang bersama tim Pusat Khidmat ADUN,”
“Bubur yang dimasak dan dibungkus, terus diedarkan kepada penduduk kampung,” ujar Hasruddin.
YB Datuk sendiri turun tangan membantu, bukan sekadar simbolik, tetapi dengan penuh keikhlasan.
Selesai mengedar bubur, Dr Aliakbar melawat Bazar Ramadan Indah Permai untuk merasai sendiri pengalaman orang ramai membeli juadah dengan bajet terhad.
“Beliau juga beramah mesra dengan peniaga dan mempromosikan gerai-gerai tempatan.
“Menjelang maghrib, beliau bergegas ke Kampung Tebobon untuk berbuka puasa bersama belia.
Dr Aliakbar mendengar luahan dan harapan anak muda, terutamanya mengenai kursus kemahiran selepas SPM.
“Beliau percaya bahawa belia adalah aset berharga Sabah dan perlu diberi ruang dan peluang untuk berkembang,” ujar Hasruddin lagi.
Beliau membawakan budaya Kuliah Tujuh Minit (KULTUM) sebelum solat sebagai peringatan bersama di Masjid Kampung Gudon.
Selepas tarawih, beliau berkongsi moreh bersama penduduk kampung, tanpa membezakan kedudukan.
“Kehadiran YB Datuk Dr. Aliakbar Gulasan yang tidak mengenal erti penat, terus bergerak, mendengar, dan melangkah untuk rakyat, wajar menjadi contoh.
“Marilah kita doakan agar beliau terus diberi kekuatan, kesihatan, dan keberkatan dalam perjuangan ini,” kata akhir Hasruddin dalam tulisannya di muka buku, kelmarin.