Home Berita PAS Terengganu

Tujuh bot peronda baharu tingkat kawalan perairan Negara

10
SHARE

MARANG – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menyerahkan tujuh bot peronda khusus untuk penguatkuasaan konservasi sumber perikanan negara.

Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Dato’ Adnan Hussain memaklumkan, bot-bot dengan kos keseluruhan bernilai RM11 juta itu diserahkan hari ini kepada pangkalan-pangkalan operasi di Perlis, Kedah, Perak, Selangor dan Terengganu.

“Untuk perolehan, bot 13 meter sebanyak tujuh unit adalah tujuan khusus untuk menguatkuasakan Akta Perikan 1985 di perairan Malaysia khususnya zon pantai.

“Salah satunya akan ditempatkan di Terengganu untuk mengawal selia perairan di sini, manakala dua unit lain di Selangor, dua di Perak, satu masing-masing di Kedah dan Perlis.

“Ia bagi meningkatkan keupayaan Jabatan Perikanan Malaysia sekali gus menangani isu-isu dikaitkan dengan IUU (aktiviti Perikanan Tidak Dikawal Selia),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Melabuh Tukun Tiruan Kuboid Juvenil Penghalang Pukat Tunda bersama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan makanan dan Komoditi Terengganu, Dato’ Dr. Azman Ibrahim, di perairan Jambu Bongkok, di sini hari ini.

Dalam program berkenaan, sebanyak 18 tukun tiruan dilabuhkan di bawah peruntukan pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang turut dihadiri Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Pang Nyukang dan Pengarah Perikanan Negeri Selangor, Noraisyah Abu Bakar serta Pegawai dan Pentadbir Tanah Daerah Marang, Zulkifly Isa.

Menurut Adnan, lebih menarik lagi ialah bot-bot berkenaan dibina oleh kontraktor tempatan yang beroperasi di Terengganu iaitu MSET Inflatable Terengganu.

“Kita harap dengan bot yang baru ini, moral anggota kita dapat ditingkatkan dan sekali gus aktiviti pemantauan dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan berkesan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Dr. Azman turut berterima kasih kepada pihak kementerian di atas penyerahan aset tersebut.

“Ada tujuh bot peronda laju dengan enjin 900HP, boleh dikatakan bot peronda terbesar (dimiliki DOF) dengan panjang 13 meter kerana sebelum ini, bot peronda dalam sekitar 10 meter dengan 600HP.

“Dengan saiz yang ada ini sebenarnya memberikan kita pilihan untuk kita menguatkuasakan Akta Perikanan 1985, khususnya perairan Terengganu ini sangat luas sehingga kawasan Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) sekitar 87,000 kilometer persegi.

“Aset-aset yang cekap sangat diperlukan untuk kita menjamin keselamatan perairan kita dan juga menjaga khazanah laut kita kerana kita bukan hanya berhadapan dengan masalah nelayan asing khususnya dari Vietnam, malah kita berdepan pencerobohan bot pukat tunda dari negeri jiran yang menceroboh zon  tangkapan nelayan Terengganu.

“Kebanyakan bot pukat tunda yang ditahan melakukan aktiviti pukat tunda dalam jarak 6-7 batu nautika sahaja dari persisir pantai. Jadi, kita tidak pernah berhenti dalam menyuarakan hak nelayan Terengganu supaya Akta Perikanan 1985 ini dikuatkuasakan demi menjamin keharmonian semua pihak.

“Aset-aset ini akan meningkatkan lagi kredibiliti dan kemampuan penguatkuasa kita dalam melaksanakan tugas kita,” katanya.