Oleh : Haziq Dun
ARAU : Tugas kita adalah menyusun gerak kerja untuk membawa masyarakat mendekati Islam, demikian ingatan yang disampaikan oleh Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Perlis, Ustaz Yussaine Yahya.
Menurutnya, meskipun bergerak sebagai sebuah parti politik dalam ruang lingkup demokrasi di negara ini, PAS juga merupakan sebuah gerakan Islam yang memiliki tanggungjawab membimbing masyarakat ke arah keimanan dan ketaqwaan kepada Allah.
Untuk itu katanya, setiap ahli PAS perlulah berperanan menyambung tugas Rasulullah S.A.W. sebagai jurudakwah yang turun ke tengah masyarakat menyampaikan risalah Islam kepada mereka.
“Kalaulah kamu mencintai Allah dan Rasul, perlulah terjun ke medan bersama masyarakat, menghayati jerih perih perjuangan Rasulullah S.A.W. membawa umat daripada jahil kepada beriman kepada Allah S.W.T.,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Usrah Tarbawi Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis yang berlangsung di SRI Al Furqan, Arau, pada 26 Mac yang lalu.
Pada majlis tersebut, beliau turut mengingatkan ahli PAS, khususnya para pemuda agar sentiasa mengikuti program-program tarbiyah yang disusun oleh parti kerana tarbiyah akan menambahkan kefahaman dan keyakinan serta memberikan kekuatan untuk terus berjuang di jalan Allah.
“Ingatlah, tarbiyah dalam PAS melatih ahli-ahlinya supaya terus bergerak, dan bekerja memenangkan Islam,” katanya.