Home Berita PAS Perlis

Tuah ‘Ainul Mardhiah’ Rangkul Johan MISWA 2017

2148
SHARE

Oleh : Nur Hazwani Zabaniah

ARAU : Pilihan lagu Ainul Mardhiah telah membawa tuah buat Kumpulan Soutul Mumtaz untuk muncul sebagai Johan Nasyid MISWA.

Manakala acara pidato digondol oleh Tasneem bt. Nurun Ehsan dari Maahad Tahfiz Imam An Nawawi (MATIN) dan sajak dimenangi oleh Nur Alyaa Nabila bt Ibrahimulkhoiri dari SRI Al-Furqan.

Usaha gigih Muslimat Muda dengan kerjasama Lajnah Kebudayaan dan Kesenian Dewan Muslimat PAS Perlis selama empat bulan akhirnya membuahkan hasil apabila pertandingan akhir Malam Inspirasi Seni Wanita (MISWA) berlangsung dengan jayanya pada malam 25 November lalu di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS).

Sebanyak sembilan finalis Sajak dan Pidato serta lima kumpulan Nasyid yang telah terpilih pada sesi saringan sebelum ini telah berentap pada malam berkenaan.

Sambutan yang amat baik oleh golongan muslimat dari setiap peringkat usia di negeri Perlis pada malam tersebut telah mencambahkan satu cabang dakwah wanita era kini.

Majlis yang bermula pada jam 8 malam itu telah dirasmikan oleh Ketua Muslimat PAS Perlis, Puan Hajjah Latifah bt. Mat.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan elemen perjuangan Islam itu perlu disertakan dalam setiap persembahan dakwah tersebut supaya ia lebih berkesan pada hati para pendengar.

MISWA melabuhkan tirai pada pukul 11.30 malam dengan acara penyampaian hadiah kepada para pemenang.