Home Berita PAS Terengganu

TSIS–MASA Meterai MoU Pacu Penyelidikan Dasar Terengganu ke Aras Baharu

1
SHARE

KUALA TERENGGANU  – Kerajaan Negeri Terengganu terus memperkukuh ekosistem penyelidikan dasar apabila Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Institut Masa Depan Malaysia (MASA) bagi memperkukuhkan kerjasama strategik dalam bidang penyelidikan, pembangunan sosioekonomi dan tadbir urus berintegriti.

MoU tersebut ditandatangani oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TSIS, Zulhimi Abd Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif MASA, Azril Mohd Amin.

Menurut  Zulhimi, melalui kerjasama itu, kedua-dua institusi pemikir berkenaan akan melaksanakan penyelidikan bersama, menganjurkan program pembangunan dasar serta berkongsi kepakaran, khususnya dalam isu-isu berkaitan sosioekonomi Terengganu dan hala tuju pembangunan negeri.

“TSIS merupakan sebuah badan pemikir yang menyokong Kerajaan Negeri Terengganu dalam merancang, menyelidik dan menilai dasar serta pelan strategik demi pembangunan dan kemajuan negeri.

“Manakala MASA pula merupakan sebuah badan pemikir bebas yang ditubuhkan untuk menyokong hala tuju jangka panjang negara melalui penyelidikan dasar berasaskan bukti dan berteraskan nilai-nilai kemakmuran bersama,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam program Majlis Menandatangani MoU Antara Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) Dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA) di ibu pejabat TSIS, semalam.

Majlis turut disaksikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TSIS, Mohd Adram Musa, dan Penganalisis Penyelidikan MASA (Bahagian Dasar dan Penyelidikan), Khairul Syakirin Zulkifli.

Selain itu kata Zulhilmi, kerjasama yang dimeterai hari ini dijangka menjadi pemangkin kepada penghasilan dapatan dasar yang lebih progresif dan inklusif, sekali gus memperkukuh usaha bersama ke arah merealisasikan visi Terengganu Negeri Maju Berkat Sejahtera Menjelang 2030.

“Pemeteraian MoU ini mengorak langkah penting dalam memperkukuh hubungan antara institusi pemikir negeri dan nasional.

“TSIS dan MASA dijangka akan berkolaborasi dalam melaksanakan penyelidikan bersama, penganjuran program dan perkongsian kepakaran, terutamanya dalam bidang tumpuan sosioekonomi negeri Terengganu,” ujar beliau.