KUALA TERENGGANU – Penganjuran TSG Shimano Fellowship Ride 2023 yang menjadi acara terbesar setiap tahun berupaya menjelmakan Terengganu sebagai Negeri Kayuhan Basikal.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, program yang dianjurkan oleh Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) tersebut selaras dengan teras utama dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030) bagi menjadikan negeri ini terkenal dengan aktiviti berbasikal.
“Kalau kita tengok hari ini ia menjadi program terbesar yang melibatkan 3,500 peserta malah menghimpunkan seluruh peminat basikal yang datang dari seluruh negara termasuk Singapura, Indonesia dan Thailand.
“Saya turut difahamkan bahawa hasrat TSG sangat bertepatan dengan kehendak kerajaan negeri bagi menjadikan acara ini sebagai pengerak kepada ekonomi negeri Terengganu dengan menyasarkan pendapatan RM2.1 juta setiap tahun pada setiap kali acara ini diadakan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui menyempurnakan pelepas program berkenaan, di Dataran Batu Burok, di sini semalam.
Mengulas lanjut katanya, reputasi Terengganu selama ini berjaya melahirkan atlet berbasikal juga telah menarik perhatian dunia kerana itu sangat bertepatan menjadikan negeri ini sebagai lokasi popular untuk kayuhan basikal.
“Kita berharap agar usaha-usaha ini diteruskan oleh pelbagai pihak kerana untuk menarik lebih ramai lagi rakyat terutama peminat-peminat sukan basikal samada dari dalam negara mahupun luar negara,” ujarnya lagi.