Home Berita PAS Pahang

Transformasi program asnaf : Masjid Kampung Padang lonjakkan pemerkasaan komuniti

10
SHARE

Oleh : KASDI KOSMIN

Kuantan, 18 Nov – Program Asnaf Masjid Syaidina Hamzah Kampung Padang terus diperkukuhkan dengan mengadakan perjumpaan khas bagi menilai dan mendapatkan maklum balas daripada peserta.

“Ia bertujuan untuk memberikan bantuan yang berkesan kepada golongan memerlukan, sekali gus memperkukuh kebajikan masyarakat setempat.

“Peserta program menerima bantuan makanan bernilai RM100 sebulan, bermula dari Januari hingga November 2024. Manakala, bulan Disember dikhususkan untuk penilaian semula oleh Jawatankuasa Asnaf Masjid bagi menentukan kelayakan peserta pada tahun berikutnya,” kata Pengerusi Masjid Syaidina Hamzah, Ustaz Saharuddin Abd Mubin

Tambah beliau, program kali ketujuh ini telah membuktikan betapa pentingnya semangat kerjasama dan keprihatinan komuniti terhadap golongan memerlukan.

“Dengan sokongan berterusan, diharapkan program ini dapat terus memberi impak positif kepada penerima, selain meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat,” ujarnya lagi.

Salah seorang peserta asnaf, Mastura Hashim, menyatakan penghargaan terhadap program ini kerana ia membantu mengurangkan kos perbelanjaan harian.

Walau bagaimanapun, beliau turut menekankan cabaran kenaikan kos bahan keperluan yang semakin meningkat, menjadikan bantuan makanan yang diterima kini agak terhad berbanding tahun-tahun awal pelaksanaan program.

Seramai 31 peserta asnaf terdiri daripada pelbagai latar belakang, termasuk ibu tunggal dan keluarga dalam kategori B40 di masjid berkenaan baru-baru ini.

Turut dihadiri adalah Setiausaha Masjid Syaidina Hamzah, Baharidduin Ismail dan Ahli Jawatankuasa serta masyarakat setempat.