Home Berita PAS Terengganu

Tour Gateh D’ Tranung 2025 kembali jelajah seluruh Terengganu

10
SHARE

KUALA TERENGGANU – Tour Gateh D’ Tranung (TGDT) 2025 akan kembali menampilkan perlumbaan di kesemua lapan daerah di seluruh negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, berbanding lima daerah pada tahun lalu, penganjuran kali ini melibatkan lapan daerah membabitkan jarak keseluruhan sepanjang  910.5 kilometer.

“Kejohanan kita akan bermula pada 26 Oktober sehingga 3 November bermula di Kuala Nerus dan Jambatan Angkat Kuala Terengganu sebagai lokasi peringkat terakhir.

“Penyertaan negara luar buat masa ini amat menggalakkan di mana kita telah menerima banyak pasukan-pasukan baru, melebihi jumlah yang kita tetapkan,” katanya.

Tambahnya, setakat ini sebanyak 12 pasukan iaitu pasukan Kebangsaan Thailand, Indonesia, Filipina dan Hong Kong, Grant Thornton Cycling Team (Thailand), Jakarta Pro Cycling Team (Indonesia), Asc Monster Indonesia, Standard Insurance Philippines Continental, Velofit  Australia, Global Cycling Team (Belanda), Specialized Mavericks Singapore, Asia Cycling Team (Jepun), Ride Revolution Coaching (United Kingdom) dan CCN Factory Racing Hong Kong.

Beliau berkata demikian ketika sidang media TGDT 2025 di Wisama Darul Iman, hari ini.

Hadir sama dalam pertemuan itu adalah Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya dan Setiausaha Persatuan Lumba Basikan Terengganu (PLBT), Ahmad Sabri Mustafa.

Menurut Hishamuddin, antara faktor utama yang ‘memikat’ minat pelumba luar negara adalah keindahan negeri Terengganu sendiri, selain rakyatnya yang ramah dan kebanyakan pengguna jalan raya di sini memahami keperluan acara berbasikal.

“Ini semua memberikan keselesaan untuk pelumba beraksi di Terengganu walaupun penganjuran ini tidak meletakkan mata dalam ranking pasukan.

“Peningkatan peringkat perlumbaan juga diputuskan setelah kita mengambil maklum balas daripada peserta sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Shahrizal memaklumkan, penglibatan pasukan tempatan terpaksa dibuat melalui pemilihan berikutan peraturan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang menetapkan penyertaan maksimum 25 pasukan sahaja bagi setiap kejohanan.