Dari Tirai Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor | Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor
Oleh : Ustzh Hjh Wan Hasrina bt Wan Hasan
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor
Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor menyambut baik keputusan kerajaan Malaysia melaksanakan Total Lockdown bagi kembali meredakan ledakan kes Covid-19 yang semakin mengganas menjangkiti dan meragut nyawa rakyat Malaysia.
Fasa pertama Total Lockdown akan bermula 1 Jun 2021 hingga 14 Jun 2021. Semua sektor ekonomi dan sosial akan ditutup namun terdapat beberapa sektor ekonomi dan perkhidmatan berkeperluan akan dibenarkan beroperasi yang akan diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara.
Langkah ini dilihat akan menjejaskan sektor ekonomi Negara namun ia adalah keputusan paling tepat dan bijak untuk dilaksanakan kerana ketika ini, petugas kesihatan negara kita sudah mula lelah menguruskan kes jangkitan Covid-19 yang makin mencanak naik dan tidak ada tanda-tanda akan berkurangan.
Jumlah kematian melebihi 90 kes dan jumlah jangkitan sudah mencapai dan melebihi 9000 kes. Jika keadaan ini tidak dikawal dengan teliti, mungkin sahaja sistem kesihatan kita akan lumpuh dan kes jangkitan sudah tidak dapat dikawal lagi.
Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dan sayangkan negara, ini adalah tanggungjawab kita untuk memberi kerjasama sepenuhnya, duduk di rumah dan sentiasa utamakan penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka jika perlu keluar rumah.
Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama berganding bahu membantu barisan hadapan kita melawan Covid-19. Semoga kejayaan kita pada tahun 2020 dapat dicapai sekali lagi, Insha Allah.
“Islam Memperkukuh Perpaduan”
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor