1. DPPNT menyambut baik keputusan kerajaan pusat dibawah pentadbiran YAB PM Tan Sri Muhyiddin Yasin untuk melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun “Total Lockdown” fasa pertama di seluruh negara bermula 1 Jun 2021 sehingga 14 Jun 2021 selama 14 hari.
2. Tindakan ini amat perlu dilaksanakan memandangkan kes kebolehjangkitan wabak Covid-19 harian kini telah mencapai 8,290 kes positif dan kes yang masih aktif berjumlah 72,823 kes yang masih dirawat. Kematian pula semakin bertambah dan sehingga kini telah mencecah 2,552 kematian akibat wabak ini.
3. Dengan pengumuman PKP terbaru ini, DPPNT menyeru semua rakyat agar terus menerus menjaga SOP yang telah ditetapkan oleh pihak MKN dan jabatan yang berkaitan dan sentiasalah menjaga kebersihan diri dan keluarga.
4. Disamping itu juga DPPNT menyeru kesemua rakyat Malaysia untuk menyokong program imunisasi kebangsaan dengan mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin dan hadir mengikut temu janji yang telah ditetapkan oleh pihak KKM. Vaksin adalah sebahagian ikhtiar manusia untuk melindungi masyarakat dari wabak Covid-19 ini.
5. Dalam menghadapai tempoh yang mencabar ini, seluruh lapisan masyarakat perlu berganding bahu untuk menjaga sesama kita, para pemimpin masyarakat dan orang yang berkemampuan perlu memainkan peranan penting agar setiap rakyat yang perlu dibantu mendapat pembelaan sewajarnya tanpa mengira parti politik dan fahaman mazhab.
6. Rakyat juga dinasihati agar sentiasa mendapatkan maklumat yang betul dari sumber yang dipercayai agar budaya berita palsu dan fitnah yang bakal meruntuhkan integriti sebuah negara berjaya dihentikan. Pastikan benar baru kongsi.
7. Dikesempatan ini, DPPNT juga menyeru seluruh rakyat untuk terus menyokong segala usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan dan sentiasa berada dalam keadaan tenang agar kesulitan ini dapat diatasi dengan jayanya.
Marilah sama-sama kita sentiasa memohon dan bermunajat kepada Allah swt agar diberi kemenangan dan diangkat wabak ini dari Dunia.
Kepada Allah jua kami berserah
Ustaz Mohd Nasir bin Abd Razak
Ketua Pemuda PAS Negeri Terengganu.