Home Berita PAS Terengganu

Tong Gas Ungu Beban Kepada Peniaga, Rakyat

17
SHARE

KUALA TERENGGANU – Dewan Muslimat PAS Pusat menyifatkan pelaksanaan penggunaan tong gas ungu (LPG komersial) oleh peniaga makanan dan industri kecil sederhana (IKS) sebagai langkah kerajaan Madani yang membebankan dan bakal memberi kesan langsung kepada rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah.

Ketuanya, Ustazah Nuridah Salleh menegaskan bahawa perbezaan harga yang ketara antara LPG bersubsidi dan LPG komersial bukan sekadar isu subsidi, tetapi menyentuh soal kelangsungan hidup rakyat dan masa depan ekonomi kecil.

“Pelaksanaan ini sudah tentu akan meningkatkan kos operasi peniaga kecil kerana harga tong gas ungu tidak disubsidi jauh lebih mahal berbanding harga subsidi sebelumnya.

“Harga tong gas ungu 14kilogram (kg) dilaporkan mencecah RM70, berbanding hanya RM26.60 untuk LPG bersubsidi sebelum ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pada hari ini.

Menurutnya, kerajaan sepatutnya menyediakan tempoh peralihan yang munasabah bagi peniaga untuk menyesuaikan diri dengan perubahan ini.

“Subsidi bersasar atau insentif kepada peniaga kecil dan sederhana yang layak juga perlu diberikan.

“Sesi penerangan dan dialog bersama peniaga bagi menjelaskan tujuan dan manfaat pelaksanaan ini hendaklah diadakan,” ujar Ustazah Nuridah.

Beliau menyeru kerajaan Pusat agar menangani isu ini secara inklusif, kerana kegagalan berbuat demikian akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap dasar yang sepatutnya membela golongan kecil merupakan tulang belakang ekonomi negara.