Home Rencana PAS Selangor

Tolak si penghasut yang pernah “Taliban” kan UMNO dan PAS – Setiausaha BPPN Selangor

386
SHARE

May be an image of 1 person and text that says "mk NEWS Nga enggan mohon maaf kenyataan 'negara Taliban'"

Nadi Selangor by Roslan SMS | Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

Oleh : Roslan Shahir Dato Mohd Shahir
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Selangor

2 hari lepas, Amerika Syarikat memperingati ulangtahun ke-20 peristiwa serangan ke atas negaranya menggunakan pesawat-pesawat komersil yang ditawan, memusnahkan Menara berkembar World Trade Center di New York, sebahagian Kementerian Pertahanannya di Pentagon dan sebuah lagi terhempas di Shanksville, Pennsylvania dalam peristiwa yang dikenali sebagai 9/11.

AS mendapat maklumat serangan berkenaan dirancang oleh pertubuhan al Qaeda diketuai Osama Ben Laden yang dilabel pengganas anatarabangsa dan ketika itu mendapat perlindungan di Afghanistan. Lalu mereka bertindak-balas dengan menyerang Afghanistan yang berada di bawah pentadbiran kerajaan Taliban.

Ben Laden berjaya melarikan diri sementara AS terus menakluk dan menawan seluruh bumi Afghanistan membebaskannya dari pengaruh Taliban. Mereka menjajah negara Islam tersebut sejak itu dan kebetulan beberapa hari sebelum ulangtahun 9/11 ini terpaksa meninggalkan Afghanistan apabila pasukan Taliban membebaskan kembali negara mereka sendiri selepas terjajah 20 tahun.

Saya tidak berhasrat mengulas berkenaan persitiwa trajik 9/11 itu, tetapi sekadar mahu menyentuh berkenaan “Taliban”.

Taliban dalam bahasa Pashton bermaksud pelajar atau mahasiswa. Mereka ini adalah golongan berpendidikan agama yang bangkit melawan penjajahan komunis Rusia sebelumnya bersama beberapa pasukan Mujahiden Afghan yang lain, kemudiannya mereka bangkit menguasai Afghanistan dan menubuhkan sebuah negara Islam.

Barat melabel Taliban sebagai gerakan Islam yang konservatif, ganas dan ekstrim dalam menafsirkan agama semasa memerintah Afghanistan. Banyak insiden yang berlaku di Afghanistan dibesar-besar dan ditokok-tambah media Barat menggambarkan betapa kuno dan ganasnya Taliban itu semasa memerintah.

Label mainan media Barat itu berjaya dan terus lekat begitu sehingga dunia melongokkan Taliban dan apa sahaja yang berkaitan dengannya sebagai pengganas dan ektrimis agama.
Hari ini Taliban kembali berkuasa di Afghanistan, setelah kuasa-kuasa Barat gagal menguruskan Afghanistan dengan baik.

Rakyat Afghanistan sesungguhnya menerima kepulangan Taliban dan mengharapkan mereka dapat megembalikan keamanan di negara yang telah berdekad-dekad diselubungi peperangan. Rakyat Afghan rata-rata boleh menerima Taliban, yang tidak korup, dan kuat berpegang dengan agama itu.

Malah Taliban 2.0 ini juga sudah mengumumkan barisan kabinetnya dan perancangan masadepannya yang mahukan keamanan dengan menjalin hubungan dan kerjasama politik dengan semua negara di dunia.

Label Taliban yang ganas dan ekstrim yang dipopularkan Barat itu sebenarnya juga turut pernah digunakan dalam negara kita secara biadap.

Timbalan Setiausaha Agung DAP yang juga MP Teluk Intan, Nga Kor Ming, semasa PH memerintah dan beliau menjawat jawatan Timbalan Speaker pernah menggunakan istilah Taliban ini untuk memomokkan musuh politiknya dimata rakyat.

Nga dalam satu majlis DAP di Taiping pada tahun 2019 pernah menuduh bahawa kerjasama UMNO dan PAS akan menjadikan Malaysia seperti Afghanistan yang diperintah Taliban sekiranya kedua-dua parti berkenaan berjaya membentuk kerajaan sekali gus memecah-belahkan rakyat.

Katanya lagi, rakyat akan menderita apabila UMNO dan PAS membentuk kerajaan kerana keadaan itu disifatkan sebagai tiada patah balik.

Maksudnya kerjasama UMNO dan PAS akan menjadikan Malaysia huru-hara, dipenuhi dengan keganasan sehingga mengancam kehidupan semua.

Kenyataan dan tuduhan jahat ini cukup tidak bertanggungjawab semata-mata kerana mahu memburukkan kerjasama politik UMNO dan PAS dengan menggunakan label Barat. Sedangkan kerjasama ini mahu menyatupadukan umat Melayu Islam, agar tidak lagi berpecah sehingga melemahkan penguasaan politik mereka dalam negara. Apabila bersatu umat Melayu Islam, rakyat Malaysia juga akan aman dan tenteram dan negara mampu melangkah ke hadapan dengan stabil dan harmoni.

Hari ini parti-parti yang Nga tuduh sebagai “Taliban” itu sudah pun berkuasa, PM Malaysia ke 9 dari Umno dan barisan kabinetnya termasuk 3 Menteri dan 5 Timbalan Menteri dari PAS.
Huru-harakah negara kita hari ini? Berapa ramaikah yang terkorban atau terpenjara akibat “Taliban Malaysia” berkuasa sebagaimana yang pernah Nga tuduh dahulu?

Sempena ulangtahun 9/11 dan kembalinya Taliban berkuasa di Afghanistan, kita juga mahu mengingatkan rakyat Malaysia betapa jahatnya politik mereka ini.

Hari ini Nga ditawarkan oleh PH menjadi calon Timbalan Speaker Dewan Rakyat. Sudah tiadakah lagi yang lebih layak dan punya kredibiliti selain si mulut cabul dan celupar ini?

Malaysia perlukan pemimpin yang cemerlang, berwibawa, baik budi bahasa dan jiwanya, bukan seorang penghasut dan pengadu-domba.

13 September 2021 | 6 Safar 1443H

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor