Home Berita PAS Terengganu

Tolak Sekatan Pergerakan Terhadap MB Terengganu – Khalil

14
SHARE

KUALA TERENGGANU – PAS Terengganu mendesak pihak yang bertanggungjawab agar menghentikan segera taktik kotor sebelum demokrasi Malaysia ranap dan hilang arah dalam jangka masa panjang.

Kelmarin, Malaysia digemparkan dengan pendedahan berani oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, bahawa beliau telah ditandai dalam sistem keselamatan negara sebagai individu berstatus TCO (Travel Control Order).

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, beliau yakin sekatan dan pemantauan sedemikian tidak dikenakan terhadap mana-mana pemimpin kerajaan atau tokoh-tokoh lain, walaupun isu keselamatan sering dijadikan alasan oleh sesetengah pihak.

“Apa yang mengejutkan banyak pihak, status ini bukan sekadar satu label, tetapi turut melibatkan tindakan luar biasa di mana seorang pemimpin tertinggi negeri yang sah dan dipilih secara demokratik dikenakan kawalan seperti seorang penjenayah, tanpa sebarang pendakwaan atau bukti salah laku jenayah.

“Pendedahan ini menunjukkan kemungkinan besar berlakunya penyalahgunaan sistem keselamatan negara sebagai alat politik untuk menekan dan mengekang suara pembangkang,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurut Muhammad Khalil, Ahmad Samsuri turut mendedahkan bahawa beliau ditahan setiap kali melalui kawalan sempadan, termasuk ketika ke Sabah dan Sarawak, sejak suku ketiga tahun 2024.

“Lebih membimbangkan, pergerakan dan komunikasi beliau (Ahmad Samsuri) dipercayai dipantau, diintip, dan dipintas tanpa sebarang justifikasi undang-undang yang sah. Tindakan ini merupakan satu bentuk tekanan sistemik, gangguan berterusan, dan pencabulan terhadap kebebasan peribadi.

“Situasi ini menggambarkan bahawa TCO yang dikenakan terhadap MB Terengganu bukan bersifat rutin, tetapi membawa ciri kawalan ke atas individu yang dianggap ‘berbahaya’ – satu tindakan yang amat tidak munasabah,” ujarnya.

Muhammad Khalil yang juga merangkap Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa Dan Hubungan Luar PAS Pusat berkata, pelanggaran terhadap prinsip demokrasi dan hak asasi yang dijamin Perlembagaan ini amat menjengkelkan, dan menjadi ancaman langsung terhadap amalan politik yang sihat, adil dan terbuka di negara ini.

“Keadaan ini bukan sekadar ancaman terhadap pemimpin pembangkang semata-mata, malah merupakan isyarat jelas bahawa rakyat biasa juga berisiko menjadi mangsa kawalan politik tersembunyi sekiranya dibiarkan berleluasa,” katanya.