KUALA TERENGGANU, 30 Ogos – Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan, parti tersebut tidak akan menyertai Pakatan Harapan (PH) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Menurut beliau, PAS konsisten menolak kerjasama dengan PH serta tidak akan berkompromi dan telah memutuskan untuk tiada kerjasama dengan PH.
“Setakat yang saya faham, PAS sangat konsisten dengan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan PH.
“Itu saja yang boleh saya sebut, bagi PAS kita tidak akan berkompromi dan tidak ada sebarang kerjasama dengan PH,” ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilaporkan berkata, semua pimpinan parti pembangkang perlu mempertimbang membuka semula pintu rundingan dengan PN jika masing-masing sepakat musuh utama dalam PRU-15 adalah Barisan Nasional (BN) selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Kembara Merdeka Beret Hijau Siri 2/2022 di Dataran Muara Utara, di sini, hari ini.
Kembara merdeka sejauh 1,603 kilometer yang bermula Ahad lalu dan akan berakhir esok itu disertai 44 ahli Kelab Veteran Komando Malaysia yang berkonvoi menggunakan motosikal berkuasa tinggi dari Kem Sungai Udang Melaka dengan persinggahan di beberapa negeri termasuk Terengganu sebelum menuju ke Kem Iskandar, Johor.
Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, sekiranya ada perbincangan dengan Perikatan Nasioanal (PN), PAS tetap dengan pendirian untuk tidak bersama PH.
“Kalau ada perbincangan kita akan utarakan pandangan kita, dan kita akan bertegas dengan pandangan kita (untuk tidak bersama PH),” ujarnya.