Home Berita PAS Pusat

Tok Montok: Pembakar Api Jihad Di Pahang

2365
SHARE

RAMADHAN DAN PERJUANGAN ~ 1441

Siri 13

TOK MONTOK: PEMBAKAR API JIHAD DI PAHANG


KEMASUKAN British di Pahang pada 1888M, telah menimbulkan ketidakpuasan hati orang Melayu terhadap penjajah itu. Sebelum itu, sejak 1885M, British berusaha untuk menguasai Pahang yang kaya dengan hasil bumi, tetapi kehadiran Frank Swettenham di Pahang bagi mewakili Gabenor Negeri-negeri Selat tidak mendapat perkenan Sultan Ahmad. Kerana itu, British menggunakan isu pembunuhan seorang Cina rakyat British untuk memaksa Sultan Ahmad menerima Residen British pada 1888M. Pada 1895M, British menyerapkan Pahang ke dalam Negeri-negeri Melayu Bersekutu, bersama-sama Perak, Selangor dan Negeri Sembilan. Tindakan ini melemahkan kuasa Sultan Pahang, lalu ketidakpuasan hati membawa kepada pemberotakan.

Kesungguhan British untuk menguasai kekayaan Pahang memang disedari oleh sultan dan pembesar Pahang. Sebab itu, selepas kedatangan Frank Swettenham, British menghantar pula Hugh Clifford pada 1887M, tetapi tetap gagal juga. British kemudiannya menggunakan Sultan Abu Bakar Johor bagi mempengaruhi Sultan Pahang, sebelum Gabenor Negeri-negeri Selat, Sir Frederick Weld sendiri menemui Sultan Pahang pada 1888M yang memaksa Sultan Pahang menerima cadangan British. Tersepit dengan ugutan British, Sultan Ahmad terpaksa menandatangani perjanjian untuk menerima Residen British pada 24 Ogos 1888. Di sebelah orang-orang Melayu, para pembesar seperti Dato’ Bahaman, Maharaja Perba Jelai, Datok Kaya Chenor dan Imam Perang Indera Gajah (Tok Gajah) tidak bersetuju dengan campur tangan British itu.

Kesannya, berlaku ketidakpuasan hati dan pemberontakan di kalangan orang Melayu. Mereka bukan menentang Sultan Pahang, tetapi menentang campur tangan British. Pemberontakan ini diketuai oleh Dato’ Bahaman Orang Kaya Semantan bersama Imam Rasu (Tok Gajah) dan Mat Kilau. Di belakang tabir pergerakan mereka ialah seorang tokoh ulamak besar Pahang, Tuan Guru Haji Othman bin Senik yang juga guru kepada Mat Kilau yang membakar semangat perjuangan mereka. Kerana itu, api kebangkitan merebak dengan cepat. Lihat https://berita.pas.org.my/peristiwa-jeram-ampai-1894-keban…/ .

Siri-siri Jihad di Pahang

Tuan Guru Haji Othman bergiat di Ketapang Tengah, Pekan, tidak jauh dari istana. Beliau lebih terkenal dengan panggilan Tok Montok. Pondoknya menjadi tempat api jihad dinyalakan. Salah satu faktornya ialah kerana pengalaman peribadi beliau sendiri. Pertama, keluarga telah kehilangan pengaruh di Patani akibat penjajahan Siam pada 1786M dan dasar pecah perintah yang diadakan pada 1832M; dan kedua, kerana guru beliau, Hulubalang Wan Pa (Tok Bendang Daya) adalah panglima perang Patani dalam perang tersebut. Kebencian beliau kepada penjajah kafir memang sangat tinggi, dan memudahkannya mempengaruhi muridnya seperti Mat Kilau untuk bertindak ke atas British.

Siri kebangkitan jihad yang dinyalakan ini bermula pada 21 Disember 1891M melalui serangan di Lubuk Terua, kemudian satu gerakan serentak ke atas kepentingan British dilancarkan pada 5 April 1892. Walau bagaimanapun British membuat serangan balas, tetapi mengambil masa lima bulan untuk menghentikan penentangan ini. Dalam bulan September 1892M, para pejuang Pahang terpaksa berundur ke Kelantan untuk mengambil langkahan baru. Di Kelantan, mereka dilindungi oleh keluarga Long Ghafar di Machang dan Pasir Puteh, kerana ketika ini cicit Long Ghafar, Tengku Seri Maharaja Tua Tengku Chik Pandak bin Long Demor adalah pemerintah Jeram. Long Ghafar adalah sepupu kepada moyang Tok Montok, Long Derahman. Walau bagaimanapun, British telah menggunakan pengaruh Siam untuk menangkap para pejuang ini. Kerana itulah mereka terpaksa berundur ke Terengganu.

Di Terengganu, mereka mendapat perlindungan daripada Tokku Paloh, Sheikhul Islam Terengganu. Di sini mereka mendapat suntikan jihad yang baru. Lalu, satu gerakan disusun pada awal 1894M. Mereka mengatur untuk menggempur kubu British di Jeram Ampai melalui serangan dari Lebir, Kelantan dan Besut, Terengganu. Serangan ini bergerak pada Mei 1894M dan berhasil menggempur Jeram Ampai pada 14 Jun 1894M. Mereka berjaya menawan Balai Polis Jeram Ampai, tetapi dikhianati pula oleh Panglima Garang Yusof dan Tok Raja yang menjadi tali barut British. Setelah beberapa siri peperangan, pada 29 Jun 1894, British dapat menguasai semula Jeram Ampai, tetapi tidak dapat menangkap pemimpin pejuang ini. Mereka semua telah berundur semula ke Kelantan. Turut berundur ialah Tok Montok kerana beliau turut disenarai hitam oleh British.

Tok Montok: Mengatur Dari Belakang Tabir

Tok Montok adalah guru kepada Mat Kilau dan beliau menjadi rujukan kepada para pembesar Pahang, termasuk Sultan Ahmad. Tok Montok atau Haji Othman bin Senik sebenarnya seorang ulamak yang berasal dari Kelantan. Keluarganya berasal dari keluarga besar Wan Daim, yang memerintah Kelantan dan Patani. Anak-cucu Wan Daim membentuk disnasti raja Kelantan, Patani, Reman, Legih dan Teluban. Salah seorang cucu Wan Daim ialah Long Derahman, Raja Legih sejak 1745M. Cucu Long Derahman, Long Ali atau lebih masyhur sebagai Raja Nik Dah bin Long Nik adalah Raja Legih ketika Siam memecahkan Patani kepada tujuh wilayah. Pada 1831M, Raja Nik Dah telah menyokong pemberontakan Tunku Kudin di Kedah, menyebabkan baginda diburu oleh Siam pada 1832M. Adindanya, Long Yusof (Long Bongsu) yang pro Siam dilantik menggantikkannya sebagai Raja Legih pada 1832M, sedangkan Raja Nik Dah terpaksa bersembunyi di Kelantan dan membuang gelaran dirajanya.

Keluarganya berlindung di Kampung Pangkalan Berangan, Tumpat. Anak Raja Nik Dah, Raja Osman hanya dikenali sebagai Seman sahaja. Seman inilah ayah kepada Tok Montok. Tetapi untuk mengelirukan musuh keluarga mereka Tok Montok selalu disebut sebagai Haji Othman bin Senik, walhal namanya Senik bin Othman. Beliau yang lahir pada 1838M di Kelantan, telah dihantar ke Bendang Daya untuk berguru dengan Tok Bendang Daya Tua, kemudian dengan Sheikh Wan Abdul Qadir Wan Mustafa (Tok Bendang Daya Muda), sebelum ke Mekah bagi mendalami ilmu agama.

Pulang dari Mekah, susana politik Kelantan dan Patani masih tegang, lalu beliau terus ke Pahang pertengahan 1870-an dan membuka Pondok Ketapang Tengah. Apabila Bendahara Wan Ahmad menjadi Sultan Pahang pada 1882M, secara tidak rasmi Tok Montok menjadi penasihat agama kepada Sultan Pahang. Akibat perang yang tercetus, beliau berundur ke Kelantan dan dikatakan pernah berkhidmat dalam Istana Kelantan sebagai Pawang Diraja. Pada 1904M, beliau telah berselisih dengan Raja Long Senik (Sultan Mohamad IV) kerana menerima Penasihat Siam berbangsa Inggeris, W.A Graham, lalu beliau berundur semula ke Pahang. Pada 1905M, Sultan Ahmad berkenan untuk melantik beliau sebagai Mufti Pahang (1905-1925M). Di samping itu, beliau juga terus menjadi guru agama di Ketapang Tengah sehingga wafatnya dalam tahun 1925 (ada riwayat mengatakan pada 1918).

Sebagai seorang ulamak yang berpengalaman luas dalam penetangan terhadap penjajah, baik di Legih, Patani, Pahang mahu pun di Kelantan, sangat wajar bila Tok Montok memainkan peranan besar untuk menggerakkan kebangkitan para pembesar dan rakyat Pahang dan menentang penjajahan di Pahang. Kebangkitan Pahang yang berlaku antara 1891-1894M telah memberikan pengajaran yang penting kepada di mana setiap orang mesti bangkit mempertahankan tanan air dari dijajah. Yang lebih penting dalam perjuangan mempertahankan tanah air ini, jangan ada pengkhianat yang menjadi tali barut musuh!

MOHD FADLI GHANI
Institut al-Balaghul Mubin
13 Ramadhan 1441 / 6 Mei 2020