KEMAMAN – Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris sedia untuk bertemu sekali lagi golongan pemuzik jalanan atau ‘buskers’ bagi mencari jalan serta penyelesaian terhadap segala perkara berbangkit untuk dimuktamadkan.
Ujarnya, pelbagai pihak termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mahupun agensi-agensi pemegang taruh akan dilibaatkan dalam sesi libat utus itu untuk mengadakan perbincangan.
“Saya sebenarnya secara peribadi telah berjumpa dengan mereka ini dan kita dapati ada lebih 45 pengiat muzik jalanan ini yang mencari makan melalui seni ini.
“Kita telah berikan penerangan yang jelas mengenai garis panduan hiburan agar difahami oleh mereka, dan tiada niat untuk kita membebankan mereka dan tiada Prosedur Standard operasi (SOP) yang diwujudkan.
“Cuma jika ia membabitkan penyanyi wanita itu memang tidak boleh dan kita mengambil pendirian yang tegas dalam usaha untuk memperkasakan syariat di negeri ini,”ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), ketika mengadakan lawatan kali kedua melihat hakisan di Pantai Penunjuk, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut, Razali berkata apa jua usaha yang dilakukan oleh pelbagai pihak yang ingin melakukan kegiatan seni dan hiburan di negeri ini tidak akan dihalang
“Cuma perlu memahami dengan jelas setiap ketetapan yang dilakukan kerajaan negeri,”ujarnya.