KUALA TERENGGANU – Pelaksanaan Terengganu New Economy Transformation (TNEXT) bakal menjadi pemangkin utama kepada usaha negeri mengurangkan kebergantungan terhadap hasil royalti petroleum melalui pembangunan sektor tenaga, teknologi hijau dan pelaburan strategik yang menjana pendapatan baharu.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata sebahagian besar pendapatan baharu negeri bakal disumbang daripada industri tenaga.
“Apabila pendapatan baharu ini diperoleh, ia akan mengurangkan kebergantungan kita kepada hasil petroleum.
“Kita menetapkan tempoh lima tahun, selari dengan dasar sehingga tahun 2030 dan meneruskan dasar sedia ada bagi mencapai matlamat yang telah digariskan.
“Pada tahun 2024, pendapatan baharu kita telah meningkat kepada RM77 juta. Sementara itu, setakat Jun tahun ini sahaja, kita telah berjaya mencatat RM62 juta, angka ini sudah mewakili pencapaian separuh tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media selepas Majlis Pelancaran Dasar Dan Pelan Di Bawah Portfolio Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), semalam.
Melihat kepada perkembangan positif tersebut, beliau yakin kerajaan negeri mampu menjana lebih RM100 juta pendapatan baharu sekali gus memperkukuh sumber hasil bukan cukai negeri bagi tahun 2025.
“Dan sekarang ini kita rasa kita optimis dengan sasaran kita kalau untuk 2030 nanti kita akan sasarkan berjumlah RM530 juta pendapatan baharu, bukan pendapatan keseluruhan,” katanya.
Mengulas lebih lanjut, antara fokus lain TNEXT adalah memperkukuh industri tenaga boleh diperbaharui yang berpotensi menjadi sumber hasil utama negeri.
Menurutnya, negeri Terengganu menjadi antara penyumbang terbesar kepada tenaga di peringkat nasional berikutan penjanaan tenaga menjangkau keperluan negeri sendiri yang hanya berjumlah 365 megawatts (MW).
“Antaranya yang terkini, yang telah ada adalah daripada jana kuasa Tasik Kenyir berjumlah 665MW, solar hybrid di Marang berjumlah 100MW dan akan datang ke negeri Terengganu yang akan dikeluarkan melalui green hydrogen, 80MW.
“Yang paling baru yang telah diumumkan bulan lalu, ‘floating’ solar di Tasik Kenyir berjumlah 600MW dan keseluruhannya berjumlah 2.5 gigawatts (GW).
“Juga dimaklumkan akan berlaku adalah projek jana kuasa di Paka 1 dan 2 yang mempunyai kapasiti 1,400MW setiap satu. Maka, jika dicampurkan keseluruhan jumlah tenaga yang dikeluarkan oleh negeri Terengganu berjumlah 6.1 gigawatts,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Rosli Latif menjelaskan bahawa penjanaan 600MW di Tasik Kenyir berupaya memberikan pendapatan langsung sebanyak RM34 juta setahun kepada negeri melalui pembayaran balik berkanun.
“Tidak termasuk lagi kemungkinan dividen hasil daripada penglibatan anak syarikat kerajaan negeri dalam projek berkenaan, melalui Terengganu Incorporated (TI).
“Yang saya sebut RM34 juta ini adalah ‘statutory repayment’ sahaja. Jadi kalau tuan-tuan bayangkan, 600MW sahaja kita dapat RM34 juta. 2.5GW, itu berganda,” jelasnya.