Home Berita PAS Terengganu

TNB hulur bantuan kepada mangsa banjir DUN Telemong

72
SHARE

HULU TERENGGANU – Tenaga Nasional Berhad (TNB) meneruskan komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di DUN Telemong yang terkesan akibat banjir baru-baru ini.

Majlis penyampaian bantuan berlangsung di Dewan Sivik Kampung Kuala Pueh dengan penyampaian sumbangan oleh Pengurus Besar TNB Negeri Terengganu, Ir. Mohamad Mohyddin Mohd Noor.

Sebanyak 100 bakul makanan diagihkan kepada penduduk yang terkesan dalam usaha meringankan beban mereka pasca bencana.

Mohamad Mohyddin, berkata TNB telah memperuntukkan bajet sebanyak RM100,000 untuk program CSR bagi mangsa banjir di negeri Terengganu.

“TNB sentiasa prihatin terhadap kebajikan masyarakat, terutamanya mereka yang terjejas akibat bencana alam.

“Sebagai sebahagian daripada usaha kami, dua bulan lalu, TNB turut menyalurkan sumbangan sebuah rumah bernilai RM80,000 kepada salah seorang mangsa banjir di Kampung Kuala Pueh,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa inisiatif seperti ini akan diteruskan bagi memastikan masyarakat yang memerlukan mendapat bantuan sewajarnya, sejajar dengan tanggungjawab sosial TNB dalam membantu komuniti yang terkesan.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Maliaman Kassim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong,  Mohd Zawawi Ismail, yang turut menyaksikan penyerahan bantuan kepada penerima.

Para penerima menyatakan penghargaan mereka terhadap keprihatinan TNB dan berharap lebih banyak pihak akan tampil memberikan bantuan kepada mereka yang masih berusaha memulihkan kehidupan selepas banjir.

Program ini diharapkan dapat memberi manfaat serta mengurangkan beban yang ditanggung oleh mangsa banjir di kawasan ini.