Home Berita PAS Terengganu

TKPM Peradong optimis capai pengeluaran 80,000 kilogram Melon

8
SHARE

KUALA TERENGGANU – Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Peradong, Manir di sini optimis mampu mencapai sasaran pengeluaran hasil Melon Manis Terengganu (MMT) sebanyak 80,000 kilogram menjelang hujung tahun ini.

Pegawai Pertanian Daerah Kuala Terengganu, Nurul Hazila Abdul Ghani berkata, perkara tersebut tidak mustahil memandangkan sehingga Julai lalu, jumlah pengeluaran hasil yang berjaya dicapai adalah sebanyak 40,000 kilogram.

“Setakat ini, terdapat lima peserta yang menyertai projek tanaman MMT di TKPM Peradong yang berada di bawah kelolaan di bawah Jabatan Pertanian Negeri Terengganu dengan tanaman tiga kali setahun.

“Kita baru lepas dua musim, Insyaallah sekiranya MMT yang ditanam selepas ini mendapat penjagaan rapi, tidak diserang penyakit dan serangga perosak, buah yang besar dengan warna serta kulit yang cantik digredkan sebagai buah premium dapat dihasilkan dengan dijual pada harga runcit sekitar RM13 hingga RM15 sekilogram,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di TKPM Peradong, baru-baru ini.

Mengulas lanjut katanya, pelbagai insentif dan bimbingan disediakan oleh Jabatan Pertanian kepada peserta di TKPM Peradong.

“Di sini, kita hanya fokus kepada tanaman MMT dan antara yang kita bantu termasuklah memberi khidmat nasihat kepada peserta, mengadakan kursus-kursus berkaitan fertigasi, penjagaan MMT dan sebagainya.

“Untuk tahun lepas pihak jabatan juga telah menaik taraf Rumah Pelindung Hujan (RPH) di TKPM ini. Malah, jabatan juga menyediakan bantuan dari segi input dan peralatan ladang.

Sementara itu, Pengerusi Koperasi Pengusaha Melon Manis Terengganu Berhad (KPMMTB) Tengku Norulhuda Tengku Muhammad yang lebih dikenali dengan gelaran Pok Ku berkata, dia merupakan antara peserta terawal projek MMT yang merupakan buah ikonik Terengganu.

“Pok Ku usahakan tanaman MMT di sini sejak 2016 lagi. Setiap peserta diberikan empat unit RPH di mana setiap unit RPH mampu menampung 1,500 pokok.

“Alhamdulillah, sekarang kami dapat menikmati hasil dari apa yang diusahakan oleh Jabatan Pertanian Negeri Terengganu memandangkan MMT sentiasa mendapat permintaan tinggi di pasaran,” ujarnya.