Oleh : Suhaimi Taib
KUALA TERENGGANU – Resolusi Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu 2023 (TIS2023) di Taman Tamadun Islam di sini dengan tema Kesyumulan Islam Ketika Berdepan Cabaran Global mendedahkan bagaimana Islam membuka jalan penyelesaian semua permasalahan manusia di dunia hari ini.
Ahli Parlimen Setiu, Ustaz Shaharizukirnain Abd. Kadir berkata resolusi sidang itu menjelaskan bahawa semua idealogi ciptaan manusia gagal secara total menyelesaikan masalah dunia sedangkan Islam berjaya membuktikan penyelesaian masalah manusia sejak lebih 1,000 tahun lalu.
“Ini kerana Islam dan manusia adalah ciptaan Allah, maka Dia Maha Mengetahui bagaimana cara menyelesaikan masalah mereka dengan Islam,” katanya ketika ditemui di majlis tersebut pada Khamis.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengguna Prihatin Terengganu (CCARE), Abdul Hamid Ismail yang juga peserta sidang kemuncak itu berkata tanggapan salah orang bukan Islam terhadap Islam tidak menjejaskan kemurnian Islam sebagai penyelesai masalah manusia dalam semua bidang.
“Masyarakat Barat dan Timur kini buntu mencari jalan penyelesaian masalah manusia dalam bidang politik, ekonomi dan sosial tetapi Islam menjelaskan bagaimana semua masalah itu boleh diselesaikan dengan jayanya,” kata beliau.
Dalam pada itu, seorang peguam Abdul Haris Malek, berkata kupasan ahli panel memberi gambaran jelas bagaimana Islam memberi garis panduan komprehensif bagi menyelesaikan masalah mereka.
“Penyelesaian yang diberikan Islam sesuai mengikut peredaran zaman dan kemajuan manusia di mana sahaja mereka berada,” ujarnya.