KEMAMAN – Tindakan pantas sepasukan anggota bomba yang sedang membuat rondaan di Pantai Teluk Kalong, Kijal berjaya menyelamatkan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang hampir lemas dibawa arus laut, kira-kira jam 5.35 petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohamad Hanif Che Khalid berkata, ketika kejadian, 12 anggota bomba yang sedang melakukan Pemantauan Keselamatan Aktiviti Di Air (MKAA) di pantai itu, dikejutkan dengan laungan pengunjung yang meminta tolong memberitahu kejadian itu.
“Kami bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati remaja berusia 13 tahun itu sedang terkapai-kapai dibawa ombak sejauh 500 meter dari pesisir pantai.
“Bapa mangsa cuba menyelamatkannya namun tidak berjaya kerana anaknya sudah ditarik ombak ke tengah. Mujurlah kami ada di lokasi kejadian dan berjaya menyelamatkan mangsa,” katanya menurut laporan berita Utusan Malaysia semalam.
Mohamad Hanif berkata, anggota bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk membawa mangsa ke tepi pantai.
“Ketika kita selamatkan mangsa, dia berada dalam keadaan agak lemah mungkin kerana telah tertelan air laut dan kita telah membawa mangsa ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Hanif menasihatkan orang ramai terutamanya ibu bapa mengawasi anak-anak ketika melakukan aktiviti di air.
“Ketika kejadian, di pantai itu ramai yang mengambil peluang cuti sekolah untuk mandi pantai. Kita nasihatkan mereka supaya lebih berhati-hati.
“Hal ini kerana, kita tidak tahu keadaan ombak dan permukaan air laut yang dilihat hanya biasa-biasa tetapi boleh menyebabkan kejadian tidak diingini,” katanya yang akan turut meningkatkan pemantauan,” ujarnya.