Oleh : Wan Al Affan Bassam Wan Manam
DUNGUN – Tiga Pusat Pemindahan Sementara(PPS) di Dewan Undangan Negeri(DUN) Rantau Abang di tutup setelah penghuninya kembali ke rumah masing-masing.
Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata tiga PPS tersebut ialah PPS Dewan Sivik Seberang Pintasan yang sebelum ini menempatkan 237 orang , PPS Sekolah Kebangsaan Kuala Abang 40 mangsa dan PPS Dewan Majlis Sukan Negara(MSN) seramai 235 mangsa banjir.
“Ini menjadi tujuh PPS masih dibuka, dan kita berharap dengan cuaca panas dan tidak hujan hari serta tidak berlakunya air pasang besar malam nanti kesemua PPS akan menyusul, insya-Allah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabat Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rantau Abang di sini petang ini.
Menurut beliau DUN Rantau Abang adalah DUN yang paling banyak PPS dibuka di Daerah Dungun untuk gelombang kedua ini.
” Banjir kali ini berikutan ‘air termenung’ yang berlaku, walaupun sudah tidak berlaku hujan tetapi sesetengah tempat masih dinaiki air,” katanya lagi.