BESUT – Tiga kali proses pengecaman dilakukan Rosdi Yunus, 56, sebelum mengesahkan mangsa nahas kemalangan maut di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik itu merupakan anaknya, Allahyarham Fakhrul Arif Rosdi, 22.
“Jam 12.00 (tengah hari) juga baru buat pengecaman kali pertama iaitu pengecaman dengan gambar sahaja.
“Apabila kita tengok gambar, kita tidak cam, maknanya muka(nya) berubah dan kita kata bukan.
“Selepas itu pengecaman melalui pakaian, kita tidak cam juga,” katanya.
Jelasnya lagi, sehingga pihak polis terpaksa membuat penelitian melalui imbasan cap jari yang membuat dia akhirnya akur.
“Kalau kita tengok dan ‘comfirm’ hanya lima peratus (yakin), takkan kita hendak ambil lima peratus dan buang 95 peratus?” ujarnya.
Dia berkata demikian ketika ditemui selepas Allahyarham Fakhrul selesai disemadikan di Perkuburan Islam Kampung Pasir Akar, pada jam 4.30 pagi tadi.
Bapa kepada lima orang anak itu bagaimanapun, bersyukur urusan pengebumian berjalan lancar sebagaimana diharapkan.
“Alhamdulillah, kalau diikutkan kita hendak kebumi esok (hari ini), tetapi melihatkan keadaan jenazah maka dipercepatkan.
“YB (Yang Berhormat) di sini minta kebenaran untuk solat setempat dan dibawa pulang ke kampung untuk dikebumikan sahaja,” katanya.