Home Berita PAS Terengganu

Tiga Bot, 41 warga Vietnam ditahan ceroboh perairan Terengganu

14
SHARE

KUALA TERENGGANU – Tiga bot nelayan asing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MARITIM Malaysia) Negeri Terengganu dalam rondaan bersepadu Op Kuda Laut dan Op Naga Barat di perairan negeri itu, Jumaat lalu.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, bot-bot berkenaan ditahan KM Redang pada kedudukan antara 123 batu nautika dari Kuala Terengganu kira-kira jam 10.00 hingga 10.30 pagi.

“Semasa dikesan, ketiga-tiga bot cuba melarikan diri dan hasil kecekapan kapal ronda Maritim, kita berjaya menahan mereka kurang dari satu jam.

“Ketika ditahan, terdapat 41 orang kru termasuk tiga tekong berumur antara 21 hingga 44 tahun dan kesemua mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah. Akuan mulut dipercayai semuanya merupakan warga Vietnam.

“Ketiga-tiga bot ini didapati memiliki kira-kira 100 kilogram ikan campur dan bekalan diesel lebih kurang 1,500 liter,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Negeri Terengganu, hari ini.

Tambahnya, kesemua bot dan kru dibawa ke jeti Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut.

Menurut Rashidilhadi, kes tersebut akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

“Kita syaki bot ini baru sahaja memasukit perairan negara dan hasil soal siasat mendapati mereka bertujuan ‘transit’ sebelum ke perairan Natuna, Indonesia.

“Keseluruhan rampasan bagi kes ini dianggarkan bernilai RM4.5 juta dan ia adalah kes ketujuh bagi Maritim Terengganu tahun ini,” katanya.