Home Berita PAS Pahang

Tiga Alumni MTIS lanjut pengajian IPT dalam dan luar negara

3
SHARE

Oleh : KHAULAH AL AZWAR

TEMERLOH, 19 OKT – Tiga orang alumni Maahad Tahfiz Al-Istiqamah (MTIS) berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, termasuk ke institusi pengajian antarabangsa dalam bidang pengajian Islam dan profesional.

Seorang daripada mereka, Abdullah As’ad bin Mohd Nasir telah berangkat ke Tunisia kelmarin bagi menyambung pengajian dalam bidang Pengajian Islam. Beliau merupakan pelajar ke-15 MTIS yang berjaya menamatkan hafazan al-Quran 30 juzuk.

Selain itu, dua lagi alumni turut berjaya menjejak kaki ke menara gading iaitu Amirah Syahidah binti Hazmi diterima masuk ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam bidang Syariah, manakala Fatin Munirah binti Muhammad telah berlepas ke University of Jordan, Amman bagi meneruskan pengajian dalam bidang Pemakanan Manusia dan Dietetik.

Sementara itu, seorang lagi alumni MTIS Fatin Maisarah binti Muhamad, turut berjaya menempatkan diri di University of Jordan sejak dua tahun lalu dalam bidang Bahasa Arab dan Kesusasteraan.

Pengetua Maahad Tahfiz Al-Istiqamah dalam kenyataannya berkata, pihak maahad amat berbangga dengan kejayaan para alumni yang terus membawa nama baik institusi ke peringkat lebih tinggi.

“Pencapaian ini membuktikan bahawa usaha melahirkan generasi huffaz yang bukan sahaja menguasai hafazan al-Quran, malah mampu melanjutkan pelajaran ke peringkat antarabangsa telah mula menampakkan hasilnya.

“Kami mendoakan agar semua pelajar ini terus cemerlang, berakhlak mulia, dan menjadi duta kecil yang mengharumkan nama Malaysia di mata dunia,” katanya.

Selain tiga alumni tersebut, beberapa lagi lepasan MTIS turut berjaya menempatkan diri di institusi pengajian tinggi tempatan dalam pelbagai bidang profesional.

Antaranya, Khusaini (Diploma Muamalat, UiTM), Irfan Zikry (Diploma Analisis Pelaburan, UiTM), Afif Baihaqy (Ijazah Sarjana Muda Kewangan Islam, UNIPSAS), Siti Aisyah (Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, USAS), dan Huda (Asasi Muamalat & Perakaunan, USIM).

Maahad Tahfiz Al-Istiqamah (MTIS), yang beroperasi di Temerloh, ditubuhkan pada tahun 2016 dengan matlamat melahirkan generasi huffaz al-Quran yang seimbang dari aspek akademik dan sahsiah.

Bermula dengan 30 orang pelajar, kini MTIS berkembang dengan hampir 100 pelajar di peringkat menengah. Sehingga kini, 50 pelajar telah berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran sepenuhnya.

Selain memberi penekanan kepada penguasaan al-Quran, pihak maahad turut menitikberatkan penguasaan ilmu agama, bahasa Arab, serta persediaan akademik bagi memastikan para pelajarnya berpeluang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.

Dengan kejayaan terbaharu ini, MTIS terus membuktikan peranannya sebagai salah sebuah institusi tahfiz swasta yang berupaya melahirkan pelajar berkualiti, berdaya saing, dan mampu membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa.