Home Berita PAS Terengganu

Tidak sanggup lagi melihat ibu menangis’ – bekas penagih

115
SHARE

Oleh : Adli Mohamad @trdi.my

KUALA TERENGGANU, 23 Jun – Tidak sanggup lagi melihat ibu yang sedang keuzuran menangis atas perbuatan anaknya, seorang pemuda nekad mendaftar masuk ke Pusat Pemulihan Dadah Holistik atau Perkampungan Darul Barakah.

Helmi (bukan nama sebenar), mahu berubah dan tidak ingin lagi menjadi beban buat keluarganya.

Pengurus Perkampungan Darul Barakah, Alif Mahari berkata, Helmi pada mulanya menghadapi masalah untuk hadir mendaftarkan diri bagi menjalani rawatan di pusat berkenaan kerana tidak mempunyai dokumen yang lengkap untuk merentas daerah.

“Dia bagitahu hanya tinggal berdua dengan ibunya yang keuzuran, adik beradik jauh di luar negeri, tidak dapat pulang kerana Sekatan Jalan Raya (SJR), tambahan pula dia tidak memiliki kenderaan sendiri.

“Lalu salah seorang kakitangan kami menawarkan diri untuk menjemputnya, demi ingin melihat anak muda tersebut benar-benar berubah dan bebas daripada najis dadah,” ujarnya melalui satu kenyataan yang dikongsi melalui Facebook baru-baru ini.

Dalam perkembangan sama, Alif mahari mengajak seluruh rakyat negeri ini mendoakan anak muda seperti Helmi dapat menjalani rawatan dengan sempurna serta dikurniakan kekuatan untuk mengikuti latihan fasa pertama dengan jaya.

Katanya, sejak diketahui ramai tentang usaha dilakukan kerajaan negeri yang menubuhkan pusat terbabit, ia telah membuka mata banyak pihak dan juga telah menarik minat ramai ibu bapa untuk turut menghantar anak mereka yang terjebak dengan dadah.

“Ada salah seorang ayah memaklumkan kepada saya bahwa dia telah berusaha melalui pelbagai cara, berhabis tenaga dan beribu ringgit telah dikeluarkan demi menyelamatkan anak tersayang,” ujarnya lagi.