KEMAMAN – Demi kasih sayang kepada ibunya, seorang pemuda di Kampung Bukit Anak Dara sanggup berhenti kerja untuk menjaga ibunya yang mengidap buah pinggang dan diabetes kronik.
Nata Mohd Nasir, 38, berkata ibunya, Kamaryah Sepeiai, 64, mengidap diabetes sejak 28 tahun lalu, selain darah tinggi dan buah pinggang tahap lima sejak tiga tahun lalu. Keadaan kesihatan ibunya semakin merosot sehingga penglihatannya terjejas akibat komplikasi diabetes kronik.
“Ibu terpaksa memotong jari kaki kanan tahun lalu kerana diabetes dan kini menggunakan tongkat untuk berjalan. Sebelum ini, ibu masih dapat melihat, tetapi sekarang kedua-dua matanya sudah tidak jelas.
“Selain menjaga ibu, saya juga uruskan semua kerja rumah termasuk memasak, mencuci pakaian dan mengemas rumah kerana ibu tidak mampu berdiri lama,” katanya ketika ditemui pemberita di Kediamannya bertempat di Kampung Bukit Anak Dara, Kijal baru-baru ini.

Nata berkata sebagai anak ketiga daripada enam adik-beradik, dia hanya tinggal bersama ibunya kerana adik-beradik lain tinggal berjauhan dan mempunyai komitmen masing-masing. Bapanya pula tidak bekerja kerana sakit jantung dan tinggal jauh.
“Setiap hari, ibu menjalani dialisis di rumah empat kali sehari dan saya yang urus semuanya termasuk memasang tiub pada perut ibu.
“Saya juga membawa ibu ke klinik untuk menukar balutan kaki setiap dua hari dan rawatan susulan setiap bulan. Memang saya sentiasa berada di sisi ibu,” katanya.
Ditanya mengenai masa depannya, Nata berkata dia tidak memikirkan untuk berumah tangga buat masa sekarang kerana tidak sanggup membiarkan ibunya dijaga orang lain.
“Ibu besarkan saya dari kecil, kini masanya untuk saya balas jasa ibu. Wang simpanan saya ketika bekerja juga habis digunakan untuk perbelanjaan harian dan rawatan ibu,” ujarnya.

Kamaryah berkata mereka terpaksa berjimat cermat menggunakan wang sumbangan anak-anak kerana kos rawatan dan lampin pakai buang mencecah RM1,000 sebulan.
“Mak cik pernah memohon bantuan jabatan, tapi tidak berjaya. Kalau nak ke klinik, mak cik terpaksa naik Grab atau mengupah penduduk kampung kerana kami tiada kereta.Terdahulu, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kijal turut menghulurkan bantuan berupa wang tunai dan barangan keperluan seperti Pampers dan barangan dapur bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bukit Anak Dara, Kijal.
“Anak-anak lain bantu setakat kemampuan mereka. Mak cik bersyukur kerana ada anak yang boleh diharapkan dan sanggup berhenti kerja untuk menjaga mak cik,” katanya.
Individu yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB Malaysia milik Kamaryah Sepeiai: 704 957 1206 atau hubungi beliau di talian 013-9511088.






