Home Berita PAS Terengganu

“Tiada sebab perlu tukar Presiden PAS” – Dr. Sam

41
SHARE

MARANG – Menteri Besar Terengganu yang juga Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan bahawa, isu pertukaran Presiden PAS tidak pernah timbul dalam kalangan kepimpinan parti.

Jelas beliau, isu itu hanyalah mainan pihak musuh untuk menggugat keyakinan ahli parti serta rakyat.

Ahmad Samsuri berkata, Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah membuktikan kepimpinan yang unggul dengan merangka strategi yang membawa kemenangan besar kepada parti dalam beberapa siri pilihan raya yang lalu.

“Tidak timbul langsung soal nak tukar Presiden. Presiden inilah yang telah mengatur strategi kemenangan besar PAS.

“Isu ini sengaja dimainkan musuh untuk mencetuskan kekeliruan dan melemahkan kesatuan dalam parti,” katanya ketika berucap di Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Marang di Rusila hari ini.

Menurutnya, PAS kekal teguh dengan struktur kepimpinan yang berteraskan prinsip wala’ dan syura serta sentiasa berusaha memperkukuh perjuangan Islam dalam kerangka demokrasi berperlembagaan.

Ahli Parlimen Kemaman itu turut mengingatkan ahli dan penyokong agar tidak mudah terpedaya dengan naratif luar yang berniat memecah-belahkan kesatuan jemaah.

“Kita kena fokus pada agenda dakwah dan pentadbiran yang beramanah. Jangan terperangkap dengan permainan musuh yang hanya mahu melihat kita berpecah,” tambah beliau.

PAS sebelum ini mencatat kejayaan besar termasuk menyapu bersih kerusi DUN di negeri itu serta menjadi tulang belakang Perikatan Nasional dalam blok pembangkang Parlimen Malaysia.

Terdahulu, ada segelintir pihak dan media yang cuba memainkan isu kononnya Abdul Hadi akan berundur sebagai Presiden PAS.